Friday, October 7, 2016

Pesona Wanita: Surah Yusuf Ayat 25



وَاسُتَبَقَا الْبَابَ وَقَدَّتْ قَمِيصَهُ مِن دُبُرٍ وَأَلْفَيَا سَيِّدَهَا لَدَى الْبَابِ قَالَتْ مَا جَزَاء مَنْ أَرَادَ بِأَهْلِكَ سُوَءًا إِلاَّ أَن يُسْجَنَ أَوْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu menarik baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan yang mengoyakkan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyeksanya.”


TAFSIR


Perasaan gelora perempuan tersebut yang menghantuinya telah menyebabkan ia berkejar mengejar Yusuf. Apabila ia tidak berjaya kerana terserempak dengan suaminya yang secara tiba-tiba sahaja balik dan berada di muka pintu tersebut. Ia terus menutup kejahatannya itu dengan menuduh Yusuf yang bersalah. Ia menuduh Yusuf yang menggoda dan mengasarinya.


HURAIAN

Allah Ta’ala memberitakan keadaan mereka berdua ketika mereka berlumba keluar menuju pintu. Yusuf a.s lari, sedang wanita itu meminta agar dia kembali ke rumah dan wanita itu dapat memegang baju Yusuf dari belakang. Sehingga baju Yusuf a.s terkoyak lebar. Ada yang mengatakan, bahawa bajunya terlepas, dan Yusuf terus berlari sedang wanita itu tetap mengejar di belakangnya.

Akhirnya, mereka berdua dapati tuan rumah yakni suami wanita tersebut telah berada di hadapan pintu. Saat itulah wanita itu berusaha melepaskan diri dengan tipu daya menuduh bahawa Yusuf telah berbuat tidak senonoh terhadapnya. Ia berkata kepada suaminya;

مَا جَزَاء مَنْ أَرَادَ بِأَهْلِكَ سُوَءًا

Yang bermaksud, “apakah balasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong terhadap isterimu” iaitu berbuat keji. (إِلاَّ أَن يُسْجَنَ) “selain dipenjarakan”, atau ditahan, (أَوْ عَذَابٌ أَلِيمٌ  ) “atau disiksa dengan azab yang pedih” iaitu dengan dipukul dengan pukulan yang keras dan menyakitkan.[1]

Dalam menggambarkan jalan keluar dari tekanan isteri pembesar tersebut yang bakal dilalui oleh Yusuf, al-Qur’an terlebih dahulu dalam susunan cerita secara kronologinya menggambarkan kemuncak keinginan syahwat Zulaikha, lantaran beliau adalah seorang perempuan yang mempunyai kuasa terhadap orang suruhannya Yusuf yang tunduk dan menghormatinya, Zulaikha telah melakukan satu kekasaran yang melanggar ketatasusilaannya sebagai seorang isteri pembesar yang sepatutnya mestilah bertingkahlaku halus dan lembut. Tetapi ujian baru kepada Yusuf sebelum ia keluar dari tekanan Zulaikha itu ialah siapakah yang akan mempercayainya kerana semua pihak mengenali Zulaikha dalam bentuk hati, perasaan dan sikapnya sebagai perempuan yang penuh dengan kelembutan dan penyayang. Dan dengan sifat yang dizahirkan inilah, kekerasan Zulaikha yang menimpa Yusuf itu berjaya diselubungi pula olehnya.[2]



Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com
Teratak Ilmu, Nilai
7 Oktober 2016/ 6 Muharram 1438H




[1] Ibn Kathir, ibid.
[2] Hanafi Abdul Rahman, ibid.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...