Thursday, October 6, 2016

Pesona Wanita: Surah Yusuf Ayat 23




وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِ وَغَلَّقَتِ الأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ قَالَ مَعَاذَ اللّهِ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ إِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ
Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".
Huraian Ayat:

Menurut Tafsir Ibn Kathir[1], Allah SWT menceritakan tentang isteri al-‘aziz yang tinggal di rumahnya di Mesir dan pembesar itu telah berpesan agar Yusuf a.s diperlakukan dengan baik. Tetapi sebaliknya dia telah menggoda dan memanggil agar Yusuf dekat dengannya. Rasa cintanya yang mendalam terhadap Nabi Allah Yusuf a.s disebabkan ketampanan dan keelokan wajahnya. Sehingga ini telah mendorong isteri pembesar tersebut merias dan mendandan dirinya seterusnya bertindak menutup semua pintu dan memanggil Yusuf a.s dekat dengannya. Dia telah berkata:   

هَيْتَ لَكَ
“marilah ke sini”


Tetapi Yusuf a.s telah menolaknya keras dengan berkata:

مَعَاذَ اللّهِ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ

Yang bermaksud: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya”.


Menurut Ibn kathir kata “rabb” itu bermaksud “tuan”. Kebiasaan bagi mereka menggunakan kata itu untuk menyebut “tuan” atau “orang besar”. Jadi maksudnya, “suamimu adalah tuanku yang telah memberikan aku tempat yang baik dan berbuat baik kepadaku. Maka aku tidak akan membalasnya dengan berbuat keji terhadap keluarganya.”[2]
Selanjutnya, firman Allah:

إِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”. Sebagaimana dikatakan oleh Mujahid, as-Suddi, Muhammad bin Ishak dan lain-lain.



Setelah lama menetap di rumah al-Aziz yang kaya-raya dan mewah itu, isteri al-Aziz yang bernama Zulaikha telah terpikat bukan sahaja pada akhlak dan budi pekerti Nabi Yusuf yang tinggi malahan ketampanan yang menakjubkan setiap mata yang memandang kepadanya memukaunya dan membangkitkan syahwatnya kepada melakukan kecurangan yang amat keji dipandang masyarakat. Ia menjadi tidak segan untuk berbuat kejahatan demikian bukan sahaja kerana Yusuf itu berada di rumahnya malahan kerana dirinya juga yang tidak kalah kecantikan berbanding dengan Yusuf. 

Zulaikha sendiri dikatakan oleh ulama merupakan seorang yang sangat cantik sehingga ada riwayat yang menyebutkan bahawa beliau adalah orang yang paling cantik di negeri tersebut. Ditambah pula oleh kesenangan hidup yang dimilikinya, menyebabkan ia lupa untuk memelihara kemuliaan dirinya. Sesungguhnya keinginan syahwat yang menjalar pada diri seseorang yang kehausan nafsu akibat seringkali ditinggalkan suaminya akan bertambah-tambah apabila bertemu dengan seorang yang menarik perhatiannya dalam sudut akhlak dan rupa bentuk, malahan menjadi semakin terbakar disebabkan acap kali bertemu dalam masa yang panjang. Iman yang lemah atau nafsu yang beraja akan memandu syaitan ke kemuncak perasaan itu. Ini kerana jiwa muda yang kosong telah diisi oleh syaitan. Islam mengajar jiwa yang kosong tadi supaya diisi dengan zikir dan fikir. Inilah dua jalan yang membawakan kepada taqwa.[3]

Al-Qur’an memaparkan suatu realiti sosial dalam bentuk yang jelas di mana suami yang sibuk dengan kerja-kerja luar, apatah lagi yang berpangkat besar dan berjawatan tinggi, sehingga kurang menumpukan perhatian kepada rumah tangga tidak menyedari sesuatu tanggungjawab yang sememangnya merupakan keperluan dalaman isterinya, ataupun mungkin berasal dari masalah yang berpunca dari pihak isteri yang tidak tahu menjaga iffahnya (harga diri dan kemuliaanya). Ini adalah suatu bentuk biasa porak-peranda yang selalu timbul dalam masyarakat yang berpunca dari jiwa yang tidak sihat sekalipun mereka mempunyai kemampuan material yang menakjubkan di mata masyarakatnya. Keadaan ini akan menjadikan mereka lebih mudah melakukan dan menjalarkan maksiat di dalam masyarakat.[4]

Dalam suatu sudut yang lain, ini bererti sekalipun seseorang itu berjaya di mata umum belum bererti ia boleh membahagiakan keluarganya. Dalam kisah di atas, sabda Rasulullah S.A.W:

سبعة يظلهم الله فى ظله يوم لا ظل إلا ظله إمام عادل وشاب نشأ فى عبادة الله ورجل قلبه معلق بالمسجد إذا خرج منه حتى يعود إليه ورجلان تحابا فى الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما أنفقت يمينه ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال ا،ى أخاف الله ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه


Tujuh golongan yang mendapat perlindungan `arasyNya di hari yang tiada perlindungan (apa-apa lagi) melainkan perlindunganNya: pemerintah yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat pada masjid( rumah Allah) bilamana ia keluar dari ( tempat tersebut sehinggalah) ia kembali pulang, dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, mereka berkumpul dan berpisah keranaNya, lelaki yang bersedekah dengan satu sedekah lalu ia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, lelaki yang diajak oleh perempuan yang berpangkat dan jelita lantas ia berkata; sesungguhnya aku takutkan Allah dan lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan seorang diri lantas mengalirkan air kedua matanya.[5]



Srikandi Al-Azwar,
nur_mylp@yahoo.com
Teratak Ilmu,
6 Oktober 2016/ 5 Muharram 1438H



[1] Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, terjemahan bahasa Melayu.
[2] Ibid.
[3] Hanafi Abdul Rahman, Tafsir Surah Yusuf: Satu Sorotan Terhadap  Psikologi Dan Sosiologi Islam, http://elfesfanji.blogspot.com/2011/01/tafsir-surah-yusuf-di-tulis-semasa.html
[4] Ibid
[5] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...