Tuesday, May 10, 2016

Orientalisme: Tujuan dan matlamat


Matlamat orientalisme sejak mula-mula penubuhannya adalah untuk melindungi dan menghalang masyarakat Barat dan Kristian daripada terpengaruh dengan agama Islam. Mereka memburuk-burukkan agama Islam dan menutup kebaikan yang berkaitan dengan Islam dan selain itu mereka membuat kajian serta membuat pelbagai dakwaan yang mengandungi segala dusta terhadap akidah dan syari’ah serta sumber-sumber Islam. Mereka melakukannya adalah untuk melemahkan pegangan yang ada dalam diri umat Islam itu sendiri dan berkeinginan untuk mengkafirkan mereka. Mereka juga menjadi pengikut para penjajah dan membantu mereka untuk memudahkan operasi jajahan tersebut. Kerjasama antara orientalis dan penjajah sangat mempengaruhi pergerakan mereka untuk menguasai negara dan umat Islam.


Terdapat tiga bentuk tujuan dan matlamat golongan orientalis mengikut kelompok masing-masing iaitu:

Pertama: Golongan fanatik yang mempunyai rasa dendam dan permusuhan yang ketara terhadap Islam dan umatnya. Kajian mereka terhadap Islam atas nama ilmu namun mereka cuba membuat pembohongan di dalam kajian mereka. Matlamat mereka adalah untuk:
   1.   Menolak keterangan atau kebenaran yang menyatakan bahawa Al-Quran diutuskan untuk menunjukkan jalan yang benar kepada seluruh umat dan mereka juga menolak Islam sebagai agama Allah. Mereka berusaha membuat bermacam-macam tafsiran yang mengandungi penyelewengan terhadap wahyu al-Quran.
    2.   Menyemai kekeliruan terhadap kemampuan bahasa Arab.
    3.   Menyemai keraguan tentang nilai Fiqh Islam iaitu suatu perbendaharaan yang agung.
   4. Mengelirukan umat Islam mengenai kerasulan Nabi Muhammad S.A.W dan menyemai pelbagai prasangka yang tidak benar terhadap sumbernya hingga menyebabkan ramai yang menafikan kerasulan baginda dan menyangkal serta membangkang kenyataan yang mengatakan bahawa baginda menerima wahyu dari Allah S.W.T.
  5. Kekeliruan dan penyelewengan terhadap hadis juga dicipta dan mereka bersandarkan kepada hadis palsu kerana mereka pada hakikatnya iri hati terhadap hadis Nabi S.A.W yang sangat sempurna dan kaya dengan khazanah perundangan yang sangat mengkagumkan sedangkan Rasul S.A.W merupakan seorang yang buta huruf.
Antara mereka yang tergolong dalam kelompok ini adalah seperti Gold Ziher (1850-1920), J. Maynard, S.M. Zweimer, G.Von Grunebaum, K. Cragg, A.J. Wensinck, Baron Carra De Vaux, H.A.R Gibb (1895-1965) dan Alfred Guillaume. Semua antara mereka ini sangat fanatik dan sangat memusuhi Islam.[1]


Kedua: Golongan yang tidak fanatik. Kegiatan mereka ini didorong oleh akademik dan ilmu semata-mata. Golongan ini berbeza daripada golongan fanatik kerana kebanyakan mereka adalah boneka penjajah.[2] Matlamat mereka adalah untuk:
    1.     Tujuan politik: Pemerintah memberi sokongan dan dorongan seratus peratus kepada gerakan ini untuk mendalami dan memahami bahasa, adat, agama dan sebagainya yang berkaitan dengan Islam. Ini juga bertujuan untuk mengenali dan mengetahui taktik dan teknik yang membolehkan mereka mendekati, mempengaruhi dan memonopoli umat Islam.
   2.  Tujuan Perdagangan: Pada abad ke-19 dan ke-20, faktor perdagangan menjadi topik utama ketika perdagangan pada waktu itu sedang giat dijalankan. Mereka dapat memperolehi banyak bahan-bahan mentah dan keuntungan sekaligus dapat mempelajari dan menimba pengalaman dengan mengenali geografi dan kebudayaan Timur.
    3.     Kajian yang dibuat adalah disebabkan tujuan ilmiah semata-mata. Motif ini timbul ketika zaman perkembangan penulisan dan penerbitan yang mana ketika itu ia dikenali sebagai abad keemasan orientalis.


Ketiga: Golongan ini mengkaji dan membuat penyelidikan untuk mencari kebenaran.[3] Apabila kajian mereka menunjukkan kebenaran yang hakiki mengenai Islam dan ia menjelaskan kebaikan dan kebenaran yang dibawa oleh Islam itu sendiri membuatkan mereka tertarik dengan rela hati terhadap Islam lalu terus menganut agama ini. Antara di antara mereka yang berminat tentang Islam adalah, Jack Burke, Anne Marie Simmel, Thomas Carlyle, Renier Ginaut, Dr. Granier dan Goethe.[4]
Orientalisme menurut Mustafa Al-Siba’ie [5] dalam Mahmud Hamdi Zaqzuq (1989), mereka ini sama ada untuk mengacau atau memutarbelitkan agama Islam melalui penyemaian keraguan terhadap Islam seperti memalsukan sejarahnya. Kadangkala penulisan mereka mengingkari kitab al-Quran sebagai kitab wahyu serta mendatangkan keraguan terhadap hadis Rasulullah S.A.W.[6]
Di Malaysia, sebelum kita mencapai kemerdekaan, golongan orientalis ini terdiri dari kalangan pentadbir kolonial British dan mubaligh-mubaligh Kristian.[7] Antara mereka ialah W.G. Shellabear, R.J. Wilkinson dan R.O.Winstedt. Walaupun penulisan mereka bersifat ilmiah, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Sebahagian daripada golongan ini telah menyatakan bahawa mereka bertemu dengan kebenaran setelah mengkaji mengenai Islam antaranya Muhammad Asad, M.M.Pickthall, Maryam Jameelah, T.B.Irving, Abdul Ahad Daud dan lain-lain lagi. Manakala di antara mereka juga ada yang bersikap objektif seperti H.A.R.Gibb, A.J. Arberry dan Arnold Toynbee.[8] Mereka tidak terlepas daripada melakukan penyelewengan terhadap agama Islam. H.A.R. Gibb pernah menganggap al-Quran merupakan sesuatu yang sulit, menjemukan serta bercampur aduk dan tidak teratur. Manakala A.J. Arberry pula meremehkan hadis dan sunnah.






[1] Ibid, Gerakan Orientalisme & Kristianisasi Ancaman Terhadap Ummah, hlm. 45-48
[2] Ibid, Gerakan Orientalisme & Kristiasnisasi Ancaman Terhadap Ummah, hlm. 40
[3] Ibid, Gerakan Orientalisme & Kristianisasi Ancaman Terhadap Ummah, hlm. 49-50
[4] Ibid, hlm 50
[5] Kertas Kerja Orientalis dan Bahaya Gerakan Mereka, hlm. 5
[6] Ibid, Gerakan Orientalisme & Kristiasnisasi Ancaman Terhadap Ummah, hlm. 52-54
[7] Ibid, hlm. 115-120
[8] Ibid, hlm. 55-64

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...