Saturday, May 7, 2016

Orientalisme: Faktor-Faktor Penubuhan Gerakan

Jika kita rujuk semula kepada perbincangan mengenai sejarah kemunculan orientalisme yang telah dibicarakan sebelum ini, telah didapati bahawa terdapat dua sudut yang perlu diberi perhatian iaitu:

1. Aktiviti rasmi iaitu setelah berlakunya perhimpunan gereja Vienna yang mana ia telah membuat keputusan untuk mewujudkan pengajian oriental di beberapa pusat pengajian yang terdapat di Barat.
2. Aktiviti yang berlaku dan telah dijalankan sebelum perhimpunan gereja Vienna. Walaupun jika dilihat dari satu sudut, orientalisme ini dikaitkan dengan ilmiah dan akademik, tetapi kelahiran atau kemunculannya secara rasmi mempunyai tujuan, objektif, motif dan matlamatnya yang tersendiri. Ia mempunyai kaitan juga dengan hubungan antara Kristian dan Islam. Perselisihan yang berlaku antara keduanya yang mana telah mencetuskan Perang Salib merupakan salah satu sebab gerakan ini ditubuhkan. Kemudian gerakan ini diatur secara tersusun bagi mencapai matlamat utama mereka.

Al-Istisyaraq wal mustasyriqun, malahaum wama alaihim
Para orientalis tersebut mencipta gerakan atau persatuan-persatuan yang sistematik dengan menghabiskan masa yang panjang serta tenaga dan wang yang banyak menurut Mustafa al-Siba’i di dalam bukunya “Al-Istisyaraq wal mustasyriqun, malahaum wama alaihim” yang mengatakan bahawa ia didorong oleh faktor-faktor berikut:
i.        Dorongan Keagamaan
ii.       Dorongan Penjajahan
iii.      Dorongan Perniagaan
iv.      Dorongan Politik
v.       Dorongan Ilmiah

Faktor utama gerakan orientalisme ini ialah keagamaan iaitu agama Kristian. Menurut Sheikh Hamdi Zaqzuq,[1] para sejarawan di kalangan orientalis menyakini bahawa faktor keagamaan merupakan faktor yang mempunyai motif yang besar bagi perkembangan gerakan ini dan penubuhan akademi pengajian bahasa Arab dan kajian Islam di Eropah.
Para orientalis yang pertama sekali terdiri dari daripada ilmuan agama dari Vatikan, pendita Rome-Katolik, paderi, dan sebagainya yang mula-mula mengembangkan orientalisme. Selepas itu, para penguasa dan raja-raja pula mula terpengaruh dan tertarik dengan gerakan ini. Antara mereka ialah Jebert De Orliac (938 – 1003 Masihi), Dicuil, Perre Le Veherable (1094 – 1156 Masihi), Daniel of Morley Scot dan lain-lain. 
Tujuan utama mereka adalah untuk memburuk-burukkan serta memutar belitkan kebenaran dan hakikat agama Islam kerana bagi mereka agama Islam merupakan musuh yang paling utama kepada agama Kristian. Agama Islam boleh menandingi serta mengatasi agama-agama yang ada termasuklah agama Kristian. Antara kenyataan oleh orientalis yang menunjukkan bahawa tujuan utama penubuhan ini adalah kerana agama ialah:
“Jika usaha ini ternyata di antara perkara-perkara tambahan dan keduanya kerana musuh tidak perlu diserang dengan senjata, tetapi aku berhajat supaya di negeri yang mempunyai raja yang agung mestilah ada benteng pertahanan sama ada untuk perhiasan atau kedua-duanya. Nabi Sulaiman A.S membuat senjata untuk pertahanan walaupun ia tidak diperlukan pada zaman itu. Nabi Daud A.S membuat perhiasan walaupun bukan untuk kegunaan zamannya (teks ini berlainan dengan kandungan al-Quran yang sebenar. Nabi Sulaiman A.S membuat perhiasan manakala Nabi Daud A.S membuat senjata). Begitu jugalah halnya dengan usaha ini, walaupun tidak boleh mengkristiankan umat Islam, tetapi cukup sekadar pihak gereja dapat memberi pertolongan kepada orang yang lemah dan susah.”

Selain itu menurut Lawrans Brown “bahaya yang sebenar adalah wujud dalam sistem Islam yang berkemampuan untuk berkembang dan mempengaruhi serta kesesuaiannya yang mana ia dengan ini dapat menjadi satu-satunya benteng yang boleh menyekat penjajahan Eropah”.

ii. Faktor Penjajahan

Faktor seterusnya yang mendorong gerakan orientalisme ini ialah penjajahan yang mana setelah kaum Nasrani telah kalah dalam Perang Salib.[2] Apa yang bermain di dalam fikiran mereka ialah “apakah yang telah mendorong kekuatan mereka (umat Islam)”. Para orientalis telah mengkaji adat istiadat, kebudayaan, agama serta hal-hal yang lain yang berkaitan dengan agama Islam untuk dijadikan bahan dalam gerakan menjajah umat Islam serta negara mereka. Ketika kekuasaan berada di tangan mereka, mereka telah cuba menanam perasaan ragu-ragu dan benci dalam diri muslimin terhadap agama Islam. Ia juga adalah penyebab mengapa umat Islam tunduk kepada penjajah dan mengagungkan kebudayaan Barat serta memandang rendah terhadap kebudayaan Islam.

iii. Faktor Perniagaan @ Ekonomi

Dorongan yang ketiga yang menggerakkan pergerakan orientalisme adalah faktor perniagaan atau ekonomi.[3] Keinginan Barat untuk berdagang dengan orang Islam telah mendorong para orientalis mencari tempat-tempat pemasaran bagi barang-barang keluaran mereka. Sekaligus mereka cuba mendapatkan bahan-bahan perniagaan dari negeri-negeri Timur dengan harga yang murah kemudian mereka menjualnya kembali dengan harga yang mahal dan tinggi.

iv. Faktor Politik
Faktor seterusnya ialah politik. Dorongan ini timbul setelah negara-negara Islam mancapai kemerdekaan dan terdapat kedutaan-kedutaan negara Barat di sana. Di sebahagian kedutaan itu terdapat bahagian kebudayaan yang berfungsi untuk menyebarkan kebudayaan negara masing-masing dan ia merupakan pusat kajian mereka terhadap kebudayaan negeri di mana mereka berada ketika itu.[4] Tujuan utamanya ialah semata-mata untuk menyebarkan kebudayaan mereka sekaligus mencuba untuk memusnahkan dan menghapuskan kebudayaan agama Islam.
Di dalam buku yang telah dikarang oleh T.K.H. Ismail Yaakub mengatakan bahawa setelah Barat dan Timur berpecah, negeri-negeri di Eropah telah menggiatkan usaha-usaha untuk menakluki dan menguasai negeri-negeri Islam di Timur (Abdul Halim Mat Diah 1989: 61). Mereka mencari kelemahan-kelemahan negeri tersebut untuk mereka menguasainya dalam segala bidang terutamanya politik. Melalui politik, mereka menyemai semangat perpecahan di antara umat Islam sehingga ia menyebabkan kebanyakan negara-negara Islam di Timur telah mencapai kemerdekaan tetapi cara pemerintahannya tetap dipengaruhi oleh Barat. Gerakan pembaratan (westernisasi) dikembangkan dalam bidang kebudayaan dengan alasan modenisasi yang merupakan ke arah kristianisasi yang mana semua usaha mereka itu adalah hanya untuk menghapuskan syariat Islam dan kebudayaan nasional. Ia dilakukan setelah mereka mengetahui tentang sikap-sikap kebanyakan pemimpin utama yang bertanggungjawab dalam mengatur strategi negara.

v. Faktor Keilmuwan

Faktor lain yang mendorong gerakan orientalisme selain daripada yang telah disebutkan ialah merupakan dorongan ilmiah bagi memahami selok-belok agama, adat serta budaya dan bahasa Islam. Ia telah berlaku setelah sekian lama iaitu mulai berlakunya peristiwa perhubungan dan keilmuan di antara orang Islam dan Barat melalui pertukaran maklumat dan sebagainya. 
Sebahagian kecil daripada orientalis-orientalis telah mempelajari soal-soal ketimuran dan agama Islam dengan maksud ilmiah semata-mata.[5] Ada juga di antara mereka mendapat petunjuk dari Allah S.W.T lalu terus memeluk agama Islam dan menjadi seorang tokoh Islam yang penting setelah mereka mengkaji, meneliti serta menyelidik apa sahaja yang berkaitan dengan agama Islam. Salah seorang daripadanya ialah Et Dinet (1861 – 1929 Masihi) (Abdul Halim Hj.Mat Diah 1989: 62).





[1] Ibid, Gerakan Orientalisme & Kristianisasi Ancaman Terhadap Ummah, hlm. 11
[2] Ibid.
[3] Ibid, hlm. 13-14
[4] Ibid, hlm. 12
[5] Ibid, hlm. 13

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...