Wednesday, April 20, 2016

Teknik Mendorong Pelajar Lemah @ Corot


Murid-murid yang kurang cemerlang dalam pelajaran selalunya mempunyai persepsi negatif pada diri sendiri malah juga pada orang di sekeliling. Hal ini kesan daripada situasi negatif yang mereka terima saban hari secara pengulangan. Sebagai contoh, pelajar corot seringkali tidak melakukan kerja sekolah dengan lengkap. Ganjaran yang mereka seringkali terima apabila berkelakuan sedemikian adalah mendapat kata-kata negatif daripada sesetengah guru ditambah pula menerima hukuman seperti berdiri di atas kerusi.


Ketika waktu pembelajaran bersama saya, apabila ditanya tentang kerja sekolah hari sebelumnya, ada pelajar yang terus berkata “Cikgu, saya berdiri di atas kerusi ya, saya tidak siap kerja sekolah”. Keadaan ini nampak agak membimbangkan kerana apabila pelajar itu sendiri menawarkan diri untuk menerima hukuman tanpa ada rasa malu dengan rakan sekelas ini menunjukkan bahawa dia sudah terbiasa menerima hukuman. Lebih membimbangkan, apabila pelajar sudah hilang rasa malu, pelajar itu berkemungkinan besar sudah tidak endah dengan segala bentuk dorongan ke arah positif kerana sikap negatif lebih mendominasi diri.

Apa yang menjadi telahan saya ini terbukti benar apabila pelajar corot yang sudah hilang rasa malu dengan rakan sekelasnya ini seringkali mengulangi perbuatan negatifnya, iaitu tidak membawa buku pelajaran, mengajak rakan-rakan sekelas bermain ketika guru berada di dalam kelas dan tidak memberi tumpuan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Kegagalan ibu bapa dan guru dalam memumpuk sikap positif dalam diri pelajar tersebut memberi ruang yang besar sikap negatif tertanam.

Bertepatan seperti yang ditekankan oleh imam Al-Ghazali, dalam menegur anak, ibu bapa atau pendidik hendaklah tidak terlalu banyak mengeluarkan kata-kata celaan. Kanak-kanak yang selalu dicela akan menjadi terbiasa dengan celaan itu. Dia akan berani melakukan kesalahan dan segala bentuk nasihat tidak memberi kesan. Inilah apa yang sering menjadi permasalahan, pelajar bermasalah sukar menerima nasihat. Apa yang lebih menyedihkan, kebanyakan orang di sekeliling tidak memberi peluang kepada mereka untuk memupuk sikap yang baik.




Dalam pengurusan pelajar lemah serta bersikap negatif sebenarnya perlu lebih banyak didorong dengan situasi-situasi yang positif. Segala kata yang dikeluarkan orang di sekeliling haruslah lebih berbentuk galakan semangat. Hal ini kerana saya amat yakin keadaan yang konsisten positif akan membantu kanak-kanak mempelajari cara bertingkah laku positif. 



Berbalik kepada teori pelaziman, sesuatu yang diulang-ulang dilakukan pasti mampu membentuk sikap seseorang. Justeru, saya ingin datangkan beberapa kaedah yang boleh dugunapakai dalam menghadapi kanak-kanak yang kerap hilang tumpuan antaranya adalah;




a) kerap menyebut nama mereka


          Seperti yang disentuh sebelum ini, nama merupakan salah satu elemen pujian secara tidak langsung. Cukup dengan sering memanggil nama mereka dengan nama penuh, lebih mudah mereka arahkan perhatian kepada kita. Cara memanggil nama mereka pula hendaklah dalam keadaan yang baik. Tidak menengking. Sekalipun ingin memanggil nama mereka untuk memarahi mereka panggillah dalam nada yang tegas.

          Semakin kerap kita menyebut nama mereka semakin merasakan perhatian sering diberikan kepada mereka. Ditambah pula dengan kata-kata pujian ini akan lebih menaikkan keyakinan diri bahawa mereka adalah insan yang dihargai dan baik.


b) kerap memuji hasil kerja mereka


          Seperti yang kita tahu, kanak-kanak yang sering hilang tumpuan ini amat sukar memberi tumpuan dalam sesuatu perkara. Justeru, amat penting untuk kerap memuji hasil kerja mereka. Walaupun hasil kerja mereka tidak sampai piawaian yang kita tetapkan hargailah ia. Susah payah mereka membuat sesuatu perkara itu menunjukkan ada minat yang tinggi dan ada perhatian yang bersangatan di situ.

          Sebagai contoh yang saya hadapi sendiri dengan pelajar kelas corot. Apa yang saya dapati adalah, mereka juga punya daya usaha untuk melakukan lebih baik dan lebih baik. Dengan sering memuji hasil kerja mereka, saya dapati mereka berlumba-lumba untuk siapkan lebih cepat dan lebih kemas. Perasaan keterujaan untuk belajar bukan senang dipupuk dalam kalangan mereka melainkan dengan selalu memberikan kata-kata positif kepada mereka.


c) kerap mendekati mereka
Mendekati pelajar yang lemah dapat menaikkan semangat mereka untuk belajar

         Akhir sekali, amat penting untuk mendekati kanak-kanak seperti ini. Dekatilah mereka dengan cara berbual-bual dengan mereka. Ini akan memupuk minat mereka untuk bercerita. Dari situ insyaAllah akan lebih mudah untuk mereka mengikut arahan yang kita berikan kepada mereka.


Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com
12 Rejab 1437H
Baiti Jannati

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...