Friday, April 22, 2016

Metodologi Penulisan Kitab Tafsir Ibn Kathir


Tafsir Ibn Kathir merupakan salah sebuah kitab Tafsir bil-Ma’thur yang menduduki tempat kedua selepas Tafsir al-Tabari. Ia adalah sebuah kitab tafsir yang terkenal dan menjadi rujukan utama untuk ulama tafsir dan masyarakat Islam seluruh dunia. Kitab Tafsir Ibn Kathir lebih dikenali dengan nama: Tafsir al-Qur’an al-A’zim (تفسير القران العظيم  ) yang telah diterbitkan secara meluas dalam pelbagai versi olahan dan cetakan.
Ibn Kathir memberi penumpuan penuh dalam tafsirnya mengenai apa yang diriwayatkan daripada ahli tafsir dan kalangan ulama salaf serta beliau menjelaskan makna-makna ayat dan hukum-hukumnya dengan cuba sedaya upaya menjauhi daripada perbahasan tentang I’rab dan pecahan-pecahan ilmu Balaghah lain. Di mana perkara-perkara itu dibahaskan secara teliti oleh umum ulama tafsir lain. Ibn Kathir cuba menjauhkan  diri daripada membahaskan secara panjang lebar berkaitan dengan ilmu yang tiada kaitan dengan tafsir atau memahami al-Quran.


Metodologi Penulisan

Metodologi  penulisan yang digunakan oleh Ibn Kathir dalam penulisan tafsirnya adalah seperti berikut:

1. Menafsirkan al-Qur’an dengan al-Qur’an.
Firman Allah:

 { وَسُيِّرَتِ الْجِبَالُ فَكَانَتْ سَرَابًا }
“Dan gunung-ganang diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas dipadang pasir.” (An-Naba’ [78]:20)
Hal seperti ini seperti firman-Nya:

وَتَكُونُ الْجِبَالُ كَالْعِهْنِ الْمَنْفُوشِ
“Dan gunung-gunung seperti bulu yang dihambur-hamburkan.” 
(Al-Qari’ah [101]:5)

Di sini Allah berfirman: فَكَانَتْ سَرَابًا (maka ia menjadi bayangan semata-mata yakni fatamorgana). Maksudnya terbayang oleh mereka yang memandang bahawa gunung itu tampak ada, walhal sebenarnya tidak. Gunung itu lenyap semuanya tanpa terlihat lagi, hilang sama sekali tanpa bekas, sebagaimana firman-Nya:
.وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْجِبَالِ فَقُلْ يَنسِفُهَا رَبِّي نَسْفاً 
 . فَيَذَرُهَا قَاعاً صَفْصَفاً

 لَا تَرَى فِيهَا عِوَجاً وَلَا أَمْتاً.


2. Menafsirkan al-Qur’an dengan Sunnah.
          Seandainya tidak diperolehi melalui pentafsiran al-Qur’an maka opsyen yang digunakan adalah dengan menggunakan hadis. Ibn Kathir telah menggunakan metodologi penulisan dengan cara mentafsirkan al-Qur’an dengan hadis-hadis sahih, athar-athar yang disandarkan kepada perawi yang sah dan thiqah dari kalangan sahabat, tabi’in dan tabi’ al-tabi’in.
Seperti ayat 18 Surah an-Naba’:

 { يَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَتَأْتُونَ أَفْوَاجًا }


Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

"ما بين النفختين أربعون. قالوا: أربعون يوما؟ قال: أبيت. قالوا: أربعنون شهرا؟ قال: أبيت. قالوا: أربعون سنة؟ قال: أبيت. قال: ثم ينزل الله من السماء ماء، فينبتون كما ينبتون البقل ليس من الإنسان شئ إلا يبلى، إلا عظما واحدا وهو عجب الذنب، ومنه يركب الخلق يوم القيامة"

“Waktu senggang antara dua tiupan itu adalah empat puluh.” Para sahabat bertanya, “Apakah itu empat puluh hari?” Baginda menjawab, “Aku tidak tahu.” Para sahabat bertanya lagi, “Empat puluh bulan?” Baginda menjawab, “Aku tidak tahu”. Para sahabat bertanya lagi, “Empat puluh tahun?” Baginda menjawab, “Aku tidak tahu.”  Baginda kemudian melanjutkan, “Kemudian Allah menurunkan air dari langit, sehingga manusia tumbuh seperti tumbuhnya tumbuh-tumbuhan. Saat itu tidak ada satu pun manusia kecuali ia sudah rosak. Yang tersisa hanya satu tulang iaitu ‘Ajbu Dzanab. Dari situlah penciptaan disusun ulang pada hari kiamat.”
  
3. Menafsirkan al-Qur’an dengan pendapat sahabat.

          Apabila tidak ditemui juga pentafsiran dengan hadis, maka dirujuk pula kepada pendapat para sahabat. Ibn Kathir menjadikan para sahabat sebagai rujukannya, kerana para sahabat adalah orang yang adil dan mereka sangat mengetahui keadaan turunnya wahyu. Ia menjadikan konsep ini berdasarkan riwayat di atas kata-kata Ibnu Mas’ud: Demi Allah tidak suatu ayat itu turun kecuali aku  tahu bagi  siapa ayat itu turun dan di mana turunnya. Dan,jika ada seseorang yang lebih mengetahui dariku mengenai kitab Allah, pastilah aku akan mendatanginya.

4. Menafsirkan al-Qur’an dengan pendapat tabi’in.

          Cara ini dikatakan adalah cara yang paling akhir dalam menafsirkan al-Quran dalam metod bil-ma’thur. Beliau menggunakan cara ini kerana banyak para ulama tafsir melakukannya. Seperti perkataan ibn Ishaq yang telah menukil dari Mujahid, beliau memperlihatkan mushaf beberapa kali kepada Ibnu Abbas, dan ia menyetujuinya. Sufyan ats-Tsauri berkata, “Jika Mujahid menafsirkan ayat cukuplah ia bagimu.” Selain Mujahid, di antara ulam tabi’in adalah Sa’id bin Jabir, Ikrimah, Atha’ bin Rabah, Hassan al-Basri, Masruq bin al-Ajdi, Sai’id bin Musayyab, Abu al-A’liyah, Rabi’ bin Anas, Qatadah, al-Dahhak bin Muzaahim Radiyallahu ‘anhum.(Pustaka Imam Asy-Syafii, 2010).

5. Ra’yu atau akal.

          Pada dasarnya Ibn Kathir amat tidak berkenan jika rujukannya menggunakan akal yang tidak dilandasi dengan ilmu apapun. Jika ada, ia sangat tidak setuju bahkan mengharamkannya, sekalipun penafsirannya betul. Ini berlandaskan hadis “barang siapa yang berbicara dalam al-Qur’an dengan ra’yunya, dan dengan sesuatu yang tidak diketahuinya, maka siap-sedialah menempati neraka”. Sebaliknya, beliau membolehkan penafsiran dengan ra’yu yang di dasari dengan keilmuan. Ibn Abbas berkata. “tafsir itu 4 jenis, orang Arab yang mengetahui orientasinya kerana bahasanya, tafsir seseorang yang tidak berdalil kerana ketidak tahuannya, tafsir yang hanya diketahui oleh para ulama sahaja dan tafsir yang hanya diketahui oleh Allah Ta’ala sahaja.”

6.Tidak suka menggunakan cara dan pendekatan yang sama.

          Ibn Kathir tidak suka menggunakan cara dan pendekatan yang sama dalam mentafsirkan ayat-ayat,serta beliau amatlah teliti dan berhati-hati serta amanah dalam menyampaikan ilmu dan penulisannya.

7. Ibn Kathir juga mengambil berat tentang ayat-ayat yang mempunyai beberapa makna dengan pendekatan atau kaedah membandingkan di antara mankna-makna tersebut di antara satu dengan yang lain. Seterusnya, beliau akan memilih dan mengemukakan mana-mana makna yang paling kukuh atau rajah, mengikut kesesuaian ayat yang ditafsir dan dibincangkan.

8. Ibn Kathir turut memberi peringatan terhadap ungkapan pelbagai pendapat ulama berkaitan hokum fekah, yang mana kadang-kala melibatkan perbincangan terhadap pendapat-pendapat yang mengemukakan dalil atau hujah menurut fahaman mazhab masing-masing.

          Sebagai rumusannya, Tafsir Ibn Kathir memberi penekanan kepada riwayat para mufassir salaf, serta menjelaskan makna-makna sesebuah ayat dan menerangkan hukum. Ia banyak memaparkan ayat yang bersesuaian makna. Antara lainnya, ia memberi penumpuan terhadap pentafsiran sesebuah ayat dengan hadis marfu’ yang mempunyai hubungan dengan ayat yang hendak ditafsirkan. Ibn Kathir juga mengemukakan athar para sahabat, pendapat tabi’in dan ulama salaf.

          Ibn Kathir seperti gurunya Ibn Taymiyyah, bersikap tegas terhadap masalah israiliyat. Walaupun beliau menumpukan kisah-kisah Israiliyat dalam meriwayatkan sesebuah kisah, namun beliau sentiasa memberi peringatan samada secara langsung atau tidak langsung terhadap cerita-cerita Israiliyat itu. Oleh yang demikian, beliau memberi peluang kepada pembaca dan pengkaji untuk membuat penilaian sendiri terhadap riwayat yang beliau sampaikan. Sungguhpun begitu, riwayat Israiliyat yang sahih adalah sesuai dengan apa yang diajarkan oleh syari’at Islam.


#Baca Biografi Imam Ibn Kathir


Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com
Baiti Jannati

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...