Thursday, April 28, 2016

[Hadis] Alam Barzakh: Hadis Yang Menunjukkan Azab Kubur


Berita dan khabar yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersumber daripada wahyu Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh kerana itu, setiap hamba Allah Ta‘ala wajib mempercayainya dan beriman dengannya. Inilah i'ktiqad orang-orang Islam.
Maka banyak hadis-hadis shahih yang diriwayatkan oleh periwayat-periwayat hadis yang masyhur seperti al-Bukhari dan Muslim secara terang-terang menyebutkan tentang sabitnya kewujudan azab kubur, antaranya:



1. Riwayat daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui dua buah kubur. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan bukanlah kedua-duanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci daripada kencing dan yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu-domba. Lalu Baginda mengambil pelepah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian Baginda pacakkan ke atas setiap kubur tersebut. Mereka (sahabat-sahabat) bertanya: “Mengapa Tuan berbuat demikian? Baginda menjawab dan bersabda: “Mudah-mudahan diringankan azab kedua-dua mayat ini selama mana kedua pelepah ini belum kering”.[1]


2. Daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha telah berkata:

“Telah datang kepada ku dua orang tua Yahudi Madinah sambil berkata: Maksudnya: “Sesungguhnya ahli kubur itu diazab dalam kubur-kubur mereka. Aisyah Radhiallahu ‘anha menjawab: “Kamu berdua berbohong dan aku tidak mempercayai kamu lalu kedua orang tua Yahudi itu pun keluar. Tatkala masuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, aku bertanya kepada Baginda: “Ya Rasulallah! Sesungguhnya dua orang tua Yahudi Madinah telah berjumpa aku dan keduanya menyangka bahawa ahli kubur itu diazab di dalam kubur-kubur mereka. 
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Benar kata-kata kedua orang Yahudi itu, sesungguhnya mayat-mayat itu diazab sehingga didengar akannya oleh sekalian binatang. (Aisyah Radhiallahu ‘anha) berkata: “Aku tidak melihat Baginda selepas sembahyang kecuali (berdoa) memohon perlindungan daripada azab kubur”.[2]


3. Dalam sebuah hadis yang lain Al-Bukhari meriwayatkan dari Aisyah:

bahawa seorang wanita Yahudi datang kepadanya dan menceritakan azab kubur. Wanita itu berkata, “Semoga Allah melindungimu dari azab kubur.” Lalu Aisyah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang azab kubur. Baginda menjawab, “Ya, azab kubur pasti ada.”
Aisyah berkata, “Setelah itu aku tidak pernah melihat Rasulullah mendirikan solat, kecuali meminta (berdoa) perlindungan dari azab kubur.”[3]


4. Daripada riwayat Abi Ayyub katanya:

Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar selepas matahari terbenam. Lalu Baginda mendengar suara. Baginda bersabda: “Mayat Yahudi itu diazab di dalam kuburnya”[4]


5. Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya mayat itu diazab disebabkan oleh ratapan orang-orang yang hidup”[5]


6. Dalam riwayat Imam Muslim:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawa mayat itu diazab kerana ratapan keluarga ke atasnya”.[6]


7. Daripada Zaid bin Sabit menceritakan ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melintasi beberapa kubur, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Siapa yang mengetahui mayat-mayat di kuburkan ini? Seorang Lelaki menjawab: “Saya”. Baginda bertanya: “Bilakah mereka mati? Lelaki itu menjawab: “Mereka mati ketika dalam kafir”.Baginda bersabda: “Sesungguhnya umat ini akan dicuba di dalam kuburnya. Jika tidak kerana kamu tanamkan (mayat-mayat) ini nescaya aku memohon kepada Allah supaya kamu diperdengarkan daripada azab kubur sebagaimana aku dengar daripada kubur-kubur ini. Kemudian Baginda menghadapkan wajahnya kepada kami dan bersabda: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab neraka”. Mereka berkata: “Kami berlindung dengan Allah daripada azab api neraka”. Baginda bersabda: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab kubur”. Mereka berkata: “Kami berlindung dengan Allah daripada azab kubur”[7]

Maka jelas daripada segala hadis yang shahih di atas bahawa azab kubur adalah sabit dan benar dan sekalian umat Islam wajib mempercayainya dan orang yang mengingkarinya pula adalah ditakuti rosak akidahnya.

Al-Imam al-Qadi Ali bin Abi al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh Thahawiyah berkata: “Dan telah mutawatir segala hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sabitnya azab kubur dan nikmatnya serta perkara soal dua malaikat. Maka wajib beriktiqad akan sabitnya yang demikian itu”. [8]


8. Disebut dari Sahihain dari Al-Barra’bin Aazib r.a dari Abu Ayyub r.a berkata: 

“Rasulullah SAW keluar pada saat matahari tenggelam dan baginda mendengar sesuatu. Baginda bersabda, “Ini adalah Yahudi yang diazab di dalam kuburnya.”[9]

9. Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a, bahawa Nabi SAW menceritakan seseorang sebelum kami yang diberi nikmat harta dan keturunan. Ketika ajal datang, dia bertanya kepada anaknya, “Bagaimana pendapatmu tentang aku?” Mereka menjawab, “Engkau adalah bapa yang paling baik.” Padahal dia tidak mempunyai amalan kebaikan di sisi Allah. Kalau dihadapkan kepada Allah, pasti diazab.

          Dia berkata, “Tunggulah. Kalau aku mati, bakarlah jasadku menjadi arang. Lalu taburkan ketika angin kencang bertiup.” Anaknya melaksanakan perintahnya.

          Setelah itu Allah SWT berkata kepadanya, “Berdirilah! Mengapa kau lakukan itu?” Dia menjawab, “Kerana takut padaMu” atau “Kerana ingin menghindar dariMu.” Dengan itu dia tidak mendapat rahmat Allah.[10]

          Inilah merupakan ketetapan dari hadis-hadis sahih, yang didukung oleh para Ulama’ Ahlus Sunnah.

          Al-Maruzi berkata, “Abu Abdullah (Imam Ahmad) berkata, “Azab kubur adalah kepastian yang tidak akan diingkari kecuali oleh orang sesat dan menyesatkan.”

          Imam Hambal berkata, “Aku berbicara dengan Abu Abdullah tentang azab kubur. Beliau berkata, “Ini semua adalah hadis sahih. Kita beriman kepadanya. Setiap yang datang daripada Rasulullah SAW dengan isnad yang baik akan diterima.”

          Selanjutnya, apabila Imam Ahmad ditanya, “Apakah azab kubur itu pasti?” Dia menjawab, “Pasti. Mereka akan diazab di dalam kubur.” Beliau melanjutkan, “Kita mempercayai azab kubur, Mungkar dan Nakir dan seorang hamba akan disoal di kuburnya. Maka firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat…”[11] dimaksudkan di alam kubur.

          Azab dan nikmat kubur pasti akan ditimpakan kepada mayat, meski jasadnya telah tercerai berai dalam bentuk debu sekalipun. Bahkan jika seorang fajir yang mati diletakkan di pucuk pohon dan ditiup hembusan anginn yang kencang juga pasti mendapat azab kubur. Hembusan angin itu akan berubah menjadi awan yang panas.
Demikian pula jasad seorang yang soleh jika dilempar ke dalam api yang membakar menyala-nyala pasti dia akan mendapat nikmat kubur dari Allah. Allah akan menjadikan api tersebut dingin sehingga menyelamatkannya.[12]



Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com



[1] Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
[2] Ibid.
[3] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (1372) Kitab al-Janaiz, bab Ma Jaa fi Azaab al-Qabri.
[4] Ibid.
[5] Hadis Riwayat Al-Bukhari.
[6] Hadis Riwayat Muslim
[7] Ibid.
[8] Al-Imam al-Qadi Ali Bin Abi al-‘Izz ad-Dimasyqi, Syarh al-Aqidah at-Thahawiyah:2/456
[9] Muttafaqun alaih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (1375) Kitab al-Janaiz, bab at-Ta’awuz min Azaab al-Qabri. Juga oleh Muslim (2869) Kitab al-Jannah wa Sifat Na’imiha, bab ‘Ardhu Maqa’id Mayyit min al-Jannati aw an-Naari alayhi.
[10] Muttafaqun alaih. Dikeluarkan oleh al-Bukhari (6481) Kita ar-Riqaq, bab al-Khauf min Allah. Dan Muslim (2757) Kitab at-Taubah, bab Fi Si’aati Rahmatillahi Ta’ala wa an-Naha Sabaqaat Ghodhobahu.
[11] Al-Quran, Surah Ibrahim: 27
[12] Dr. Aidh al-Qarni, S. Muhammad Husain Ya’qub, Dr. Muhammad A.R. al-Uraifi, op.cit. hlm.127

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...