Tuesday, September 17, 2013

Rayuan Rindu Sakeena -Siri 3-


O
rang kata cinta itu sangat manis. Macam gula. Gula yang manis itu sangat diingini oleh semut. Sanggup makhluk kecil itu berkerumun kepada sebutir gula hanya sekadar ingin merasai nikmat rasa manisnya gula. Seperti itu juga manusia, sangat suka merasai manisnya cinta. Sehinggakan sanggup berbuat apa sahaja demi merasai manisnya cinta. 

Sakeena. Sepotong nama nan indah dan tenang dengarnya setenang dan seindah maksudnya, ketenangan.

Erti hidup baginya adalah kebebasan. Bebas melakukan apa sahaja. Telah sebati istilah itu mengakar dalam dirinya. Sejak kecil lagi. Apa sahaja yang diinginkannya pasti sahaja sekelip mata dia peroleh. Tidak pernah dia merasakan susah. Sebut sahaja. Makanan, pakaian, hiburan, apa semua yang terlintas pastinya termakbul. Sungguh indah hidupnya. Bagaikan syurga!


Dia merasakan dirinya sangat bertuah. Dikurniakan ibu bapa yang amat menyayangi akan dirinya. Keluarga yang berkedudukan. Harta yang melimpah ruah. Tambah pula kurang persaingan dalam keluarganya. Hanya dia dan abangnya dalam keluarga mewah itu. Membuatkan dia merasa hidup bagaikan seorang puteri. 

Setiap kali dia memandang cermin pasti dia melihat lantunan rupa dirinya bak bidadari. Memang sahlah dia seorang puteri turun dari kayangan! Dilimpahi kemewahan dan kenikmatan yang tak terkira. Membuatkan mata-mata yang memandang pasti merasa iri hati terhadapnya. Apa dia peduli. Dah memang Tuhan sangat sayangkan dia.   

Dengan rupa paras yang cantik, mewah dan bijak pastinya ramai ‘kumbang’ yang memburu cintanya. Jual mahal. Ya dia agak jual mahal sebenarnya. Bukan tak mahu sebenarnya tetapi perlulah dia menjaga status. Mestilah dia inginkan yang sama taraf sepertinya. Barulah duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Tak salah pun kan, kerana itulah yang diterapkan dalam dirinya sedari kecil. Dia hanya biasa berkawan dengan golongan elit. Mana tidaknya, bersekolah di sekolah khas golongan atasan, berkolej pula di kolej swasta yang terkemuka di ibu kota. Berfunction di majlis mewah, berbelanja hanya yang berjenama, manakala berhibur pula di kelab eksklusif. Nah, apa lagi yang ingin disebutkan. Semuanya serba high class. Memang begitulah rencah hidupnya. 

Mengimpikan seorang putera dari kayangan bukannya angan-angan minah jenin baginya. Sudah memang dia seorang puteri kayangan maka mestilah yang cocok dengannya adalah putera dari kayangan juga. 

Maka, seperti kebiasaan dalam kehidupannya pasti mendapat apa yang diinginkan. Benarlah Tuhan itu benar-benar menyayangi dirinya…


*************************


Tengah hari itu, usai sahaja kelas Mikroekonomi teman-temannya sibuk mengajaknya melepak di kafe. Mula-mula terasa malas juga. Tetapi melihatkan setiap satu wajah rakan-rakannya yang penuh mengharap akhirnya dia mengangguk juga. Ketika awal masuk ke kolej memang itu antara aktiviti sampingan yang amat digemarinya. Minum-minum dan bergosip bersama teman-teman. Terasa seronok dapat bergelak ketawa di tempat orang ramai. Menarik perhatian sang jejaka kan lumrah seorang gadis... 

Perhatian demi perhatian diperolehinya dari ramai jejaka. Ramai mengejarnya. Dirasakan dirinya ibarat puteri raja yang menunggu dihadap oleh rakyat jelata. Macam miss world pun ada. Dia suka mendapat perhatian seperti itu. Membuatkan dia bertambah teruja dengan dirinya. 

Masuk sahaja tahun kedua di kolej aktiviti wajibnya di kafetaria sudah dikurangkan. Bukan kerana apa, dia sangat sibuk dengan function, jadual modeling dan sebagainya. Maklum sahajalah, bekerja sambilan semasa belajar ini perlukan komitmen yang serius dalam setiap apa yang dilakukan. Jadinya aktiviti yang kurang mendatangkan manfaat dia terpaksa ketepikan. Hidupnya berprinsip. Ya, Sakinah sangat memegang kepada prinsipnya dalam banyak hal. 

Bosan terkadang menjengah juga diri Sakinah. Sebab itu kekadang dia akan melayan dirinya dengan hiburan. Bersama dengan kawan-kawan memang seronok. Boleh hilang segala kusut yang membelenggu diri. 

‘Emm…boleh la kan aku join diorang kejap. Boring juga kekadang asyik memandang kamera dan kru-krunya tu.’ Dia berkira-kira dalam hatinya sendiri.

Sebenarnya, kekadang dia berasa rimas dengan segala pandangan galak mata lelaki. Sungguhpun dia seorang model sambilan tetapi tetap kadangkala terpercik rasa mual.  Dia keliru kadang-kadang. Tak tahu apa yang dirasakan sebenarnya. Antara suka dan meluat.

“Keena, macam mana dengan job you sekarang? Takde shooting ke?” lamunan panjang Sakeena berkecai lantaran pertanyaan Syerin. 

“Kalau ada takdela I duduk lepak dengan you all sekarang ni kan…”

“Itu of course la, what I mean is job you on tak sem ni?”

“Setakat ni kira ok la, job selalu je mencurah-curah sampaikan nak kena select yang betul-betul menarik. Aaa, korang nak tak? I boleh tolong recommend untuk you all.” Teruja Sakeena mengajak rakan-rakannya. 

“Taknak la kitorang, macam takde life je…kau boleh la” Ain memintas.

“Eh takdela ok apa… ada side income kan…” 

“Itu kitorang tahulah, tapi bukan kepakaran kitorang kot nak sengih-sengih depan kamera ni…setakat kamera sendiri boleh la.”

“Ala…kalau setakat nak...” 

‘Splashh….’ Air yang berada di tepi Sakeena tertumpah habis. Baru sahaja dia ingin menghamburkan amarah pandangannya tertegun sebentar. 

“Ops sorry! Sorry! Sorry!” insan di hadapannya buru-buru memohon maaf atas insiden yang tidak disengajakan itu. 

“Cik takde apa-apa kan? Saya ganti semula air ya.” Mujur sahaja air itu tidak tumpah ke baju mahalnya.

“Eh takpe-takpe. Saya ok je ni. Tak perlu la ganti. Dah separuh pun saya minum. Lagi pun saya dah nak bangun ni.” 

“Emm…kalau dah begitu kata cik tak apa lah. Lain kali saya belanja ya. Sekali lagi minta maaf banyak-banyak ya cik.....” lelaki yang berkumis tipis itu mengisyaratkan ibu jarinya ke arah Sakeena. Fahamlah Sakeena akan maksudnya.

"Sakeena"

"Oh manis nama tu, macam juga pemiliknya. Saya Eddy. Selamat berkenalan..."

"Ya selamat berkenalan juga." Sakeena membalas bersama senyuman manisnya. Terukir sesuatu yang indah dalam hidupnya pada hari itu. Perkenalan dengan insan yang bernama Eddy...



Bersambung…


Srikandi Al-Azwar,
17 September 2013,
Bayt Al-Ummah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...