Saturday, July 13, 2013

Rayuan Rindu Sakeena -Siri 2-


 Assalamualaikum. Alhamdulillah siap satu entri yang sudah lama sangat rasanya nak sambung tapi tak tersambung-sambung dek kerana komitmen yang berantaian. Entri sempena Ramadhan insyaAllah..

Diharap sambungan cerpen ini membuka peluang dan ruang yang lebih besar buat saya untuk terus berkarya. Saya amat mengharapkan sebarang komentar (positif atau negatif) insyaAllah demi sebuah hasil penulisan yang lebih mantap. 
Baca Siri 1 (intro)

SELAMAT MEMBACA!!!

___________________________________________________________________________

 

“Sakinah…”


“Sakinah……”

Tubuh itu kaku tidak berkutik.

“Sakinah………” dengan penuh sabar pemilik suara itu terus menyeru. Gadis itu tetap tidak berganjak daripada hujung kaki tubuh insan yang terbaring lemah di hadapannya. Dengan perlahan-lahan tangannya menguis sedikit hujung kaki yang bertutup dengan kain sembahyang itu. Akhirnya tubuh itu mengunyai juga bergerak. Menggeliat sedikit. Namun matanya masih terpejam rapat.

“Sakinah….bangun dik… Sakinah dah solat ke? dah masuk subuh ni”. Seperti baru tersedar tubuh itu. Tergesa-gesa sahaja badannya melantun bangun dari pembaringannya.

“Pukul berapa dah kak? Keena tak solat lagi ni.” Buru-buru dia membuka telekungnya dan bergegas ke tandas.

“Eh dik, awal lagi ni, baru ja masuk subuh… gelap lagi tu ha kat luar tu!” Sedikit melaung suara gadis yang sudah lengkap berjubah rona merah jambu itu.

Setelah menyegarkan diri dengan air wudhuk, Sakeena segera keluar dari kamar mandi. Lantas didapatinya Wardah sudah siap berteleku di atas tikar sejadah berserta sehelai sejadah lagi terhampar di sebelahnya.

“Dah siap dik? Kita solat sekali ya?” Insan yang bernama Wardah itu mengalihkan sedikit badannya sambil tersenyum menampakkan lekukan kecil di pipi kanannya.

“Ya kak, kejap ya nak pakai telekung” Sakeena menghadiahkan kembali senyuman yang dirasakan paling menawan kepada kakak ‘angkatnya’ itu.

“AllahuAkbar….”

Hening pagi itu dibelah dengan gemersik alunan suara Wardah. Ayat-ayat suci dari Surah Al-Waqiah dibaca bagi solat dua rakaat itu. Sakeena tenggelam dalam lautan rasa. Betapa kini baru dapat dia merasa satu kenikmatan yang tidak terkata. Berasa hampir dengan Allah. Dirinya amat mensyukuri peluang yang Allah kurniakan kepadanya untuk kembali berada di atas jalan putih bersih. Segala kenangan lama itu pastinya tidak sekali-kali dapat dipadam dari kotak memorinya. Apa yang mampu dilakukannya adalah mengambil iktibar dan membina benteng diri yang benar-benar kukuh. Mudah sahaja hatinya tersayat pilu. Titik jernih itu mengalir kembali dalam sujudnya mengahadap Ilahi…

Usai sahaja solat, mereka teruskan pula dengan zikir ma’thurat sughra. Bibir Sakeena terkumat-kumit cuba mengikut rentak bacaan Wardah. Biarpun Wardah membaca secara lambat-lambat tetap sahaja lidahnya berasa begitu keras tergeliat untuk menurut. Ini bukanlah kali pertama dia belajar membaca zikir itu. Tetapi sudah hampir sebulan! Namun, tidak sekali-kali dia berasa putus asa. Dia tahu inilah jalan yang terbaik buatnya. Apa yang pasti dia semakin tenang setiap kali duduk berzikir kepada-NYA.

“Sakinah tidur atas lantai ke sepanjang malam semalam?” Wardah memulakan bicaranya.

“Eh, taklah kak. Saya tidur atas sejadah” Sakeena membalas dengan sedikit lelucon.

Ringan sahaja tangan Wardah menampar peha Sakeena, “eei budak ni, orang tahu la atas sejadah…”

“Hehe sorry la Kak Da, saja je nak melawak…boleh kan…?” menyeringai Sakeena memandang Wardah. Lalu kepalanya direbahkan ke pangkuan insan yang kini amat disayanginya. Wardah yang sudah mula memahami karakter adik angkatnya itu membiarkan sahaja. Tangannya perlahan bergerak mengusap rambut coklat keperangan yang panjang mengurai itu. Rambut itu sangat cantik. Ya, sangat cantik seperti itu juga wajah pemiliknya. Rambut lurus yang sebelum ini pernah terdedah itu Alhamdulillah kini bertambah cantik tersembunyi di sebalik hijab iman dan taqwa.

“Alhamdulillah….” Tidak semena-mena keluar kalimah hamdalah itu dari dua ulas bibir Wardah.

Sakeena yang mendengar sedikit kehairanan, segera dipanggungkan kepalanya menghadap wajah Wardah. “Apa? Alhamdulillah? Maksud akak? Keena tanya kak ada plan apa-apa tak hari ni kan...”

“Oh, maaf-maaf… Kak fikirkan pasal Sakinah tadi”

“Ek? Fikir pasal Keena?” tersenyum Wardah melihat gelagat Sakeena.

“Yela… kak seronok tengok perubahan adik akak sekarang” dipautnya dagu Sakeena dan digoyang-goyang wajah itu.

“Ye kan kak, bila difikirkan memang Keena rasa macam tak percaya. Bersyukur sangat…alhamdulillah” "Ya dik...Sakinag tanya kak ada apa-apa tadi? Emm...ada, nak gi pasar pastu petang sikit nak gi ziarah Raudhah" 

"Ye ke, bestnye, rindunya kat sana...boleh Keena ikut sekali?" 

"Mestilah boleh sayang...kalau boleh lain kali tidur tu betul-betul ya, jangan suka tidur  atas lantai, kena jaga betul-betul kesihatan tu..."

"InsyaAllah kak...Keena tak sedar sebenarnya semalam tu...Bila entahnya tertidur" Sakeena jujur sahaja menjawab sambil tersengih. Sebetulnya dia amat menyenangi cara layanan Wardah kepadanya. Sungguh mengambil berat akan dirinya. Sakeena akui itulah yang dia amat dambakan selama ini. Jiwanya sangat gersang dengan belaian kasih sayang insan-insan tersayang. Dan mungkin kerana itulah dulunya dia pernah mudah menjadi kabur dengan huluran kasih dari yang tidak sepatutnya. Ah, jangan diingat lagi semua itu!!!

"Em bila lagi next check-up Sakinah?” pertanyaan Wardah memecahkan lamunannya.

“Emm…...tak ingat la” wajah itu kelihatan berubah sedikit muram.

“Nanti check semula ya tarikhnya, insyaAllah lepas ni kak temankan Sakinah ok”.

Alright…” Ringkas sahaja jawapannya. Suasana terasa hening semula. Hujung minggu begini memang lambat kawasan perumahan yang mereka duduki itu ‘terjaga’. Apatah lagi kedudukan rumah mereka terletak di lorong paling hujung.

“Em… kak nak gi pasar ni, Sakinah nak ikut?”

“Em tak kut….” “Ok kalau gitu Kinah rehat-rehat ya, tak perlu banyak bergerak sangat… tunggu akak balik tau” dicuitnya sedikit hidung mancung Sakeena. Tidak ingin dia biarkan suasana terus-terusan muram. Dia memandang Sakeena lama. Mesti ada sesuatu yang mengganggu benaknya. 'Em, tak apalah. Biar dia tenang dulu' hati Wardah berkata-kata.  


****************



Sakeena bangun dari duduknya setelah Wardah telah keluar ke pasar. Perlahan-lahan dia mengaturkan langkahnya menuju ke tingkap biliknya itu. Dari bukaan tingkapnya dapat dilihat tepi masjid dengan jelas. Rumah sewa kakak angkatnya itu berada di tingkat dua. 





Rumah 4 tingkat yang dibina di atas tanah lot yang agak luas itu sangat besar binaannya yang mana dijadikan oleh tuan rumah 2 buah rumah sewa, 2 buah homestay, dan 3 buah bilik sewa. Tuan rumah yang tinggal di tingkat paling bawah itu sangat baik hati. Sakeena berasa tenang dapat bersama-sama orang yang baik lagi soleh. Tetapi, seperkara yang dia akui adalah hatinya kekadang tetap berkocak dari ketenangan.

Tidak selamanya dia boleh hidup seperti pelarian bukan?

Tidak selamanya dia dapat sembunyikan segala kenyataan bukan?

Tidak selamanya dia harus mengharapkan ihsan insan-insan sekelilingnya bukan??

Pelbagai lagi persoalan yang menujah-nujah benaknya. Persoalan yang tidak perlukan jawapan. Tetapi satu tempelak provokasi yang sering menghantui diri setiap kali dia memandang perutnya yang kian membesar. Ya, ianya kian menampakkan wajah sebenarnya!

Perlahan-lahan tangannya diletakkan ke perutnya. Tidak selamanya dia dapat bersembunyi dari kenyataan sebenar. Dia tahu akan hakikat yang satu itu. Tetapi apakan daya kekadang mindanya tidak dapat dikawal sepenuhnya. Peristiwa hampir dua bulan yang lalu kembali terlayar di fikirannya….


Bersambung….
Baca Intro RRS >> 

Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...