Sunday, July 7, 2013

Negara Islam dan Politik Cara Islam (Siri 1)



Takrif Negara Islam

Pelbagai takrifan yang kita sedia dengar mengenai negara Islam. Bahkan, kebanyakan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam pastinya tidak mahu ketinggalan dalam melabelkan negara mereka sebagai sebuah negara Islam. 

Dalam soal ini, banyak pendapat telah dikeluarkan oleh para ilmuwan. Antaranya, Imam Abu Yusuf dan Muhd al-Hasan al-Hanafi dan Mazhab Hanafiah secara umumnya mengatakan: 

“Sebuah negara di mana Hukum Islam terzahir secara jelas di dalamnya.”

Manakala al-Khatib al-Baghdadi (429 H) menyatakan bahawa:

“Negara yang masyarakatnya dapat menyeru dakwah Islam tanpa ada rasa takut dan bimbang, dilaksanakan hukum-hakam Islam, manakala ahli bid’ah tidak bermaharajalela menekan ahli Sunnah.”[1]

Begitu juga selarinya dengan takrifan yang diletakkan oleh Imam Ibn al-Qayyim iaitu, “Ia adalah negara yang diduduki oleh kaum muslimin dan terlaksana hukum Islam di dalamnya.”[2]

Jumhur ulama mendefinisikan negara Islam sebagai: Negara yang didiami oleh orang Islam dan berjalan di dalamnya hukum-hukum Islam. Manakala negara yang tidak mengamalkan hukum-hukum Islam bukanlah negara Islam walaupun bertindak menyandarkan hukum-hukum tersebut kepada hukum hudud. [3]

Daripada beberapa takrifan di atas, jelaslah bahawa negara yang mendirikan negara berlandaskan syariat yang sebenar berserta perlaksanaan yang jitu terhadap hukum-hakam Islam sahaja layak digelarkan sebagai negara Islam. Malah, jika sesebuah negara yang mempunyai rata-rata penduduk Islam tidak semestinya secara automatik bergelar negara Islam. Bahkan, ianya boleh digelar negara harb jika syariat Islam tidak tertegak di sana[4]



Takrif Politik menurut Islam

Perkataan politik berasal daripada bahasa latin, seterusnya diterjemahkan dengan perkataan yang sama dalam pelbagai bahasa dunia, samada bahasa Barat atau Timur. Makna danmaksudnya ialah mentadbir, memerintah, memimpin dan mengendalikan urusan.

Dalam bahasa Arab ia disebut dengan perkataan siyasah, daripada perkataan - sasa, yasusu, siyasatan -. Disebut dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud, 

“Kaum Bani Israil di zaman dahulu yang menjadi pemimpin siyasah mereka ialah para Nabi, setiap orang Nabi yang dimatikan diganti oleh Nabi selepasnya, tiada lagi Nabi selepasku, akan ada para khalifah (pemimpin yang memerintah), mereka itu ramai. Para sahabat bertanya: apakah perintah (pesanan) Rasulullah terhadap kami? Sabdanya: tunaikan bai’ah (ikrar taat setia) dengan keutamaan yang pertama dan berikutnya. Berikan hak mereka kepada mereka, sesungguhnya Allah akan menyoal mereka berkenaan urusan kepimpinan yang diminta supaya mereka menunaikannya.” [5]

Manakala menurut istilah para ulama terdahulu, ianya terbahagi kepada dua: 

1. Makna Am: Mentadbir urusan manusia dan urusan dunia mereka dengan syarat din. Dengan ini, kita dapati mereka mentakrifkan ‘khilafah’ sebagai;

  "نيابة عن رسول الله  صلى الله عليه وسلم في حراسة الدين وسياسة الدنيا به"

Maksudnya: Sebagai pengganti tugas Rasul dalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengan berpaksikan agama. 

2. Makna Khas: Tindakan-tindakan yang dibuat oleh imam (pemerintah/penguasa) berdasarkan sumber-sumber, bertujuan untuk menghalang kerosakan dan mencegah kerosakan yang belum melanda atau suatu langkah pemulihan.[6]

Sebagai misalan, kepelbagaian tindakan yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar r.a yang membakar peliwat dan Umar al-Khattab r.a yang mencukur rambut Nasar bin Hajjaj akibat digilai oleh perempuan Madinah semasa pemerintaha mereka. Semua tindakan ini berubah mengikut kepentingan atau maslahat setempat dan zaman. [7]

Manakala menurut asy-Syahid Imam Hasan al-Banna: ‘Siasah adalah kajian tentang persoalan umat Islam sama ada dalam dan luar negeri, ia tidak terikat dengan ikatan kepartian semata-mata.” [8]

Perkataan siyasah tidak disebut di dalam al-Quran, tetapi maksudnya termasuk dalam perkara yang dinaskan secara nyata, para ulama menegaskan ia termasuk dalam maksud perkataan "khilafah" yang dinyatakan al-Quran, yang menjadi salah satu daripada tujuan manusia dicipta oleh Allah Taala.

Seperti mana yang disebut Allah Ta’ala dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-30:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menajdikan khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapakah Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan melakukan kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Sebaliknya, perkataan siyasah telah digunapakai oleh Rasulullah dalam hadisnya, malah ianya merupakan perkataan siyasah yang asal mula digunakan: 

 "كان بنوا إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما هلك نبيّ، وإنه لا نبي بعدي، وسكون خلفاء فيكثرون "
Dahulunya Bani Israil dipimpin oleh para nabi, tatkala wafat seorang nabi maka di belakangnya terdapat nabi (lagi) dan sesungguhnya tiada seorang pun lagi nabi selepas aku (Rasulullah) dan diikuti oleh para pemimpin.[9]

Menjadi satu kepentingan bagi para ulama Islam dalam menterjemahkannya makna politik dalam kitab-kitab mereka. Ilmuwan Islam seperti Al-Mawardi (kitab Al-Ahkam al-Sultaniyyah), Ibn Khaldun (kitab Al-Muqaddimah), Abu Ya’la (kitab Al-Ahkam Al-Sultaniyyah) telah memasukkan perkataan siyasah yakni politik dalam kewajiban Khilafah dan Imamah:

“Tugas imamah (kepimpinan negara) itu diadakan bagi melaksanakan kewajiban khilafah yang pernah dilakukan oleh kenabian bagi memelihara agama dan siyasah (politik) mentadbir urusan keduniaan. Bagi melaksanakannya, hukumnya wajib dan Ijma’ para ulama.”

Urusan politik termasuk dalam perkara ilmu feqah dengan bab dan fasal serta furu’nya. Ada juga kalangan ulama menulis secara khusus dengan nama imamah, atau ahkam sultaniyyah atau siyasah syar’iyyah. Kesemua aspek ini tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain. Ibnu Ato'illah as-Sakandari menyebut dalam mukadimah kitab al-Hikam (kitab yang terkenal dalam ilmu tasawwuf), menaqalkan kata-kata Imam Malik:

“Sesiapa yang bertasawwuf dalam keadaan tidak memahami ilmu feqah, maka sesungguhnya dia menjadi zindiq (ajaran sesat yang menyeleweng aqidahnya) dan sesiapa yang mendalami feqah dalam keadaan tidak mengambil kira ilmu tasawwuf maka dia menjadi fasiq dan sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya maka dia berada dalam keadaan yang benar.”[10]


[1] Usul al-Din, hlm.270
[2] Ahkam Ahli Dzimmah, 1/266.
[3] Ibn al-Qayyim, Ahkam ahli az-Zimmah, jil.1, hlm. 366.
[4] Lihat Indahnya Politik Cara Islam, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, 2013, hlm. 35.
[5] Lihat Politik dan Agama Mengikut Persepektif Islam, Abdul Hadi Awang, 2011, hlm. 9-11.
[6] Lihat as-Siyasah asy-Syari’ah, Dr. Yusof al-Qaradhawi, Muassasah ar-Risalah, hlm. 31.
[7] Indahnya Politik Cara Islam, hlm. 4.
[8] Mabadi’ al-Usul fi Mu’tamarat al-Khassah, Muassasah al-Islamiyah, 1980, hlm. 104.
[9] Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, dan Ibn Majah.
[10] Politik dan Agama Mengikut Perspektif Islam, hlm. 15.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...