Saturday, July 13, 2013

Rayuan Rindu Sakeena -Siri 2-


 Assalamualaikum. Alhamdulillah siap satu entri yang sudah lama sangat rasanya nak sambung tapi tak tersambung-sambung dek kerana komitmen yang berantaian. Entri sempena Ramadhan insyaAllah..

Diharap sambungan cerpen ini membuka peluang dan ruang yang lebih besar buat saya untuk terus berkarya. Saya amat mengharapkan sebarang komentar (positif atau negatif) insyaAllah demi sebuah hasil penulisan yang lebih mantap. 
Baca Siri 1 (intro)

SELAMAT MEMBACA!!!

___________________________________________________________________________

 

“Sakinah…”


“Sakinah……”

Tubuh itu kaku tidak berkutik.

“Sakinah………” dengan penuh sabar pemilik suara itu terus menyeru. Gadis itu tetap tidak berganjak daripada hujung kaki tubuh insan yang terbaring lemah di hadapannya. Dengan perlahan-lahan tangannya menguis sedikit hujung kaki yang bertutup dengan kain sembahyang itu. Akhirnya tubuh itu mengunyai juga bergerak. Menggeliat sedikit. Namun matanya masih terpejam rapat.

“Sakinah….bangun dik… Sakinah dah solat ke? dah masuk subuh ni”. Seperti baru tersedar tubuh itu. Tergesa-gesa sahaja badannya melantun bangun dari pembaringannya.

“Pukul berapa dah kak? Keena tak solat lagi ni.” Buru-buru dia membuka telekungnya dan bergegas ke tandas.

“Eh dik, awal lagi ni, baru ja masuk subuh… gelap lagi tu ha kat luar tu!” Sedikit melaung suara gadis yang sudah lengkap berjubah rona merah jambu itu.

Setelah menyegarkan diri dengan air wudhuk, Sakeena segera keluar dari kamar mandi. Lantas didapatinya Wardah sudah siap berteleku di atas tikar sejadah berserta sehelai sejadah lagi terhampar di sebelahnya.

“Dah siap dik? Kita solat sekali ya?” Insan yang bernama Wardah itu mengalihkan sedikit badannya sambil tersenyum menampakkan lekukan kecil di pipi kanannya.

“Ya kak, kejap ya nak pakai telekung” Sakeena menghadiahkan kembali senyuman yang dirasakan paling menawan kepada kakak ‘angkatnya’ itu.

“AllahuAkbar….”

Hening pagi itu dibelah dengan gemersik alunan suara Wardah. Ayat-ayat suci dari Surah Al-Waqiah dibaca bagi solat dua rakaat itu. Sakeena tenggelam dalam lautan rasa. Betapa kini baru dapat dia merasa satu kenikmatan yang tidak terkata. Berasa hampir dengan Allah. Dirinya amat mensyukuri peluang yang Allah kurniakan kepadanya untuk kembali berada di atas jalan putih bersih. Segala kenangan lama itu pastinya tidak sekali-kali dapat dipadam dari kotak memorinya. Apa yang mampu dilakukannya adalah mengambil iktibar dan membina benteng diri yang benar-benar kukuh. Mudah sahaja hatinya tersayat pilu. Titik jernih itu mengalir kembali dalam sujudnya mengahadap Ilahi…

Usai sahaja solat, mereka teruskan pula dengan zikir ma’thurat sughra. Bibir Sakeena terkumat-kumit cuba mengikut rentak bacaan Wardah. Biarpun Wardah membaca secara lambat-lambat tetap sahaja lidahnya berasa begitu keras tergeliat untuk menurut. Ini bukanlah kali pertama dia belajar membaca zikir itu. Tetapi sudah hampir sebulan! Namun, tidak sekali-kali dia berasa putus asa. Dia tahu inilah jalan yang terbaik buatnya. Apa yang pasti dia semakin tenang setiap kali duduk berzikir kepada-NYA.

“Sakinah tidur atas lantai ke sepanjang malam semalam?” Wardah memulakan bicaranya.

“Eh, taklah kak. Saya tidur atas sejadah” Sakeena membalas dengan sedikit lelucon.

Ringan sahaja tangan Wardah menampar peha Sakeena, “eei budak ni, orang tahu la atas sejadah…”

“Hehe sorry la Kak Da, saja je nak melawak…boleh kan…?” menyeringai Sakeena memandang Wardah. Lalu kepalanya direbahkan ke pangkuan insan yang kini amat disayanginya. Wardah yang sudah mula memahami karakter adik angkatnya itu membiarkan sahaja. Tangannya perlahan bergerak mengusap rambut coklat keperangan yang panjang mengurai itu. Rambut itu sangat cantik. Ya, sangat cantik seperti itu juga wajah pemiliknya. Rambut lurus yang sebelum ini pernah terdedah itu Alhamdulillah kini bertambah cantik tersembunyi di sebalik hijab iman dan taqwa.

“Alhamdulillah….” Tidak semena-mena keluar kalimah hamdalah itu dari dua ulas bibir Wardah.

Sakeena yang mendengar sedikit kehairanan, segera dipanggungkan kepalanya menghadap wajah Wardah. “Apa? Alhamdulillah? Maksud akak? Keena tanya kak ada plan apa-apa tak hari ni kan...”

“Oh, maaf-maaf… Kak fikirkan pasal Sakinah tadi”

“Ek? Fikir pasal Keena?” tersenyum Wardah melihat gelagat Sakeena.

“Yela… kak seronok tengok perubahan adik akak sekarang” dipautnya dagu Sakeena dan digoyang-goyang wajah itu.

“Ye kan kak, bila difikirkan memang Keena rasa macam tak percaya. Bersyukur sangat…alhamdulillah” "Ya dik...Sakinag tanya kak ada apa-apa tadi? Emm...ada, nak gi pasar pastu petang sikit nak gi ziarah Raudhah" 

"Ye ke, bestnye, rindunya kat sana...boleh Keena ikut sekali?" 

"Mestilah boleh sayang...kalau boleh lain kali tidur tu betul-betul ya, jangan suka tidur  atas lantai, kena jaga betul-betul kesihatan tu..."

"InsyaAllah kak...Keena tak sedar sebenarnya semalam tu...Bila entahnya tertidur" Sakeena jujur sahaja menjawab sambil tersengih. Sebetulnya dia amat menyenangi cara layanan Wardah kepadanya. Sungguh mengambil berat akan dirinya. Sakeena akui itulah yang dia amat dambakan selama ini. Jiwanya sangat gersang dengan belaian kasih sayang insan-insan tersayang. Dan mungkin kerana itulah dulunya dia pernah mudah menjadi kabur dengan huluran kasih dari yang tidak sepatutnya. Ah, jangan diingat lagi semua itu!!!

"Em bila lagi next check-up Sakinah?” pertanyaan Wardah memecahkan lamunannya.

“Emm…...tak ingat la” wajah itu kelihatan berubah sedikit muram.

“Nanti check semula ya tarikhnya, insyaAllah lepas ni kak temankan Sakinah ok”.

Alright…” Ringkas sahaja jawapannya. Suasana terasa hening semula. Hujung minggu begini memang lambat kawasan perumahan yang mereka duduki itu ‘terjaga’. Apatah lagi kedudukan rumah mereka terletak di lorong paling hujung.

“Em… kak nak gi pasar ni, Sakinah nak ikut?”

“Em tak kut….” “Ok kalau gitu Kinah rehat-rehat ya, tak perlu banyak bergerak sangat… tunggu akak balik tau” dicuitnya sedikit hidung mancung Sakeena. Tidak ingin dia biarkan suasana terus-terusan muram. Dia memandang Sakeena lama. Mesti ada sesuatu yang mengganggu benaknya. 'Em, tak apalah. Biar dia tenang dulu' hati Wardah berkata-kata.  


****************



Sakeena bangun dari duduknya setelah Wardah telah keluar ke pasar. Perlahan-lahan dia mengaturkan langkahnya menuju ke tingkap biliknya itu. Dari bukaan tingkapnya dapat dilihat tepi masjid dengan jelas. Rumah sewa kakak angkatnya itu berada di tingkat dua. 





Rumah 4 tingkat yang dibina di atas tanah lot yang agak luas itu sangat besar binaannya yang mana dijadikan oleh tuan rumah 2 buah rumah sewa, 2 buah homestay, dan 3 buah bilik sewa. Tuan rumah yang tinggal di tingkat paling bawah itu sangat baik hati. Sakeena berasa tenang dapat bersama-sama orang yang baik lagi soleh. Tetapi, seperkara yang dia akui adalah hatinya kekadang tetap berkocak dari ketenangan.

Tidak selamanya dia boleh hidup seperti pelarian bukan?

Tidak selamanya dia dapat sembunyikan segala kenyataan bukan?

Tidak selamanya dia harus mengharapkan ihsan insan-insan sekelilingnya bukan??

Pelbagai lagi persoalan yang menujah-nujah benaknya. Persoalan yang tidak perlukan jawapan. Tetapi satu tempelak provokasi yang sering menghantui diri setiap kali dia memandang perutnya yang kian membesar. Ya, ianya kian menampakkan wajah sebenarnya!

Perlahan-lahan tangannya diletakkan ke perutnya. Tidak selamanya dia dapat bersembunyi dari kenyataan sebenar. Dia tahu akan hakikat yang satu itu. Tetapi apakan daya kekadang mindanya tidak dapat dikawal sepenuhnya. Peristiwa hampir dua bulan yang lalu kembali terlayar di fikirannya….


Bersambung….
Baca Intro RRS >> 

Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com

Tuesday, July 9, 2013

Negara Islam dan Politik Cara Islam (Siri 3)



Anggapan tentang Tidak Ada Agama dalam Politik dan Tidak Ada Politik dalam Agama

Jika dilihat kepada sejarah para Rasul, terdapat banyak iktibar yang dapat kita ambil. Antaranya, kisah Nabi Isa. Setelah Nabi Isa A.S. diselamatkan oleh Allah dengan diangkat ke langit (sebenarnya mereka tidak dapat menangkap, membunuh dan mensalibnya). Datang seorang yahudi bernama Paul telah memesongkan ajaran injil yang sebenar. Ada para sahabat Nabi Isa yang taat setia dinamakan hawariyyin menjadi buruan dan dibunuh. Ajaran yang menyeleweng inilah yang telah dibawa ke Eropah oleh raja Rom, seterusnya mengubah kandungan sebenar ajaran ini dengan fahaman keberhalaannya.

Keseluruhan ajarannya tidak ada aspek politik. Dalam masa yang sama para paderi telah memperalatkan agama untuk mempengaruhi masyarakat, termasuklah mengumpulkan harta kekayaan di atas nama mengampun dosa dan sebagainya. Akhirnya berlaku perselisihan di antara istana dan gereja. Apabila pihak istana lebih kuat, mereka membuat keputusan bahawa pihak gereja dan para paderinya tidak dibenarkan mencampuri urusan pemerintah (politik).

Bahkan, banyak kitab injil yang diharamkan, hanya empat sahaja diizinkan. Injil Matthew adalah salah satu yang diizinkan itu dengan jelas menyatakan secara nas :

“Perkara yang berkait dengan Tuhan terserah kepada Tuhan dan apa perkara yang berkait dengan Raja terserah kepada Raja.”

Hal ini bermaksud agama tidak ada kaitan dengan politik. Dari segi perkara yang lain ialah pertembungan tamadun kebendaan (material) barat hasil daripada pengaruh tamadun Islam yang menghasilkan revolusi industri. Apabila ramai kalangan ilmuan barat yang mempelajari ilmu duniawi di negara-negara umat Islam yang lebih maju daripada mereka.

Mereka hanya menimba ilmu duniawi tanpa mengambil Islamnya, pengajian ilmu berlaku sebanyak-banyaknya sehingga berlaku gerakan penterjemahan ke dalam bahasa barat daripada bahasa arab daripada berbagai-bagai sudut ilmu. Agama kristian yang tidak mampu menghadapi perkembangan tamadun Islam yang hebat menjadi sebab berlaku pertembungan di antara ahli sains dan tokoh-tokoh paderi, berakhir juga dengan pemisahan di antara kepaderian dan sains.

Gejala tersebut di atas menyebabkan lahirnya berbagai-bagai teori dan ideologi dalam ilmu kemasyarakatan dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Kecelaruan yang berlaku dalam dunia hari ini, bermula daripada gejala sosial, kecelaruan politik, penyelewengan pentadbiran, sehinggalah ancaman keselamatan dan perubahan cuaca adalah tanda kemusnahan daripadanya.

Firman Allah :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي 
عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah zahir dengan nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya (Allah) merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar Rum:41)


Orang-orang yang beranggapan bahawa agama tidak mempunyai hubungan dengan urusan politik, yang sudah mengakar sejak jauh-jauh hari,dan mereka yang menciptakan kebohongan bahawa tidak ada agama dalam politik dan tidak ada politik dalam agama, yang muncul pada hari-hari kemudian, justeru merupakan orang pertama yang mendustakan perkataan dan perbuatannya.

Mereka itu justeru seringkali merujuk kepada agama untuk mengambil darinya suatu perangkat (alat) untuk kepentingan politiknya danmenghadapi lawan-lawannya. Tidak jarang mereka memanfaatkan orang-orang yang lemah dan tersisih dari kalangan tokoh agama, agar mengeluarkan fatwa tertentu yang ditujukan kepada orang-orang yang melawan kebijakan politiknya, yang isinya: Ini batil menurut agama dan tidak tepat menurut kehidupan.[1]


Kesimpulan: Islam Tidak Ada Ertinya Tanpa Politik

Perlu dinyatakan secara terus terang dan sejelas-jelasnya, bahawa Islam yang benar seperti yang disyariatkan oleh Allah, tidak akan menjadi seperti itu kecuali jika ia berwawasan politik. Jika engkau melepaskan Islam dari urusan politik, bererti engkau menjadikannya agama lain, boleh agama Budha atau agama Nasrani atau lainnya.

Dalam masalah politik dalam Islam, ianya juga boleh disandarkan kepada dalil al-Quran dalam Surah ar-Rum: 2-4  (yang bermaksud), “Telah dikalahkan bangsa Rumawi (yang berpusat di Konstantinopel),di negeri yang terdekat (terdekat ke negeri Arab iaitu Syria dan Palestina) dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang, dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman”.

Inilah merupakan sebuah ayat politik yang menceritakan tentang isu semasa pada zaman Nabi s.a.w. Dalam ayat tu menceritakan tentang perang antara Rom dan Parsi yang merupakan dua kuasa besar ketika itu. Sedangkan kerajaan Rom itu merupakan kerajaan kafir, tetapi jika diteliti Allah menyampaikan dalil ni bagi memberi peringatan kepada kita bahawa perlunya ada seni dalam berpolitik.

Politik Islam bukan sahaja bergaul dalam kalangan Islam sahaja tetapi ianya perlu dikuatkan dengan pertalian kuat dengan negara kafir yang dapat membantu kita dalam mengukuhkan kedudukan pentadbiran kita. begitu juga dalam konteks negara kita, perlunya ada satu hubungan politi yang berwawasan jauh seperti mewujudkan sebuah tahalluf siyasi. Hubungan politik bersama orang kafir ini bukanlah satu perkara baru, malah ianya merupakan sunnah baginda Rasulullah s.a.w. Baginda telah meladeni kepada kita cara berpolitik secara matang dengan mentautkan hubungan erat dengan orang kafir di Madinah. Ternyata, praktikal politik Rasulullah s.a.w ini sangat berjaya dalam mempercepatkan proses negara Islam pertama Madinah diwujudkan.

Jika kita bertindak memisahkan antara politik dengan Islam ternyata amat rugi bagi kita. Hal ini kerana politik cara Islam merupakan mainan politik yang terbukti jelas paling hebat dalam sejarah pentadbiran sebuah negara. Dengan politik cara Islamlah membuatkan penaklukan demi penaklukan berlaku secara meluas sehingga ke Barat. Amat sayang sekali, melalui sejarah kita dapat lihat kejatuhan Islam amat merudum sekali apabila berlakunya kejatuhan kuasa besar sistem Khilafah Islamiyyah di Turki dahulu. Perkara ini harus menjadi satu iktibar yang besar bagi kita untuk bersatu semula mengumpulkan sinergi dalam menegakkan daulah Islamiyah.


[1] Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fiqh Daulah dalam Perspektif al-Quran dan As-Sunnah.

Monday, July 8, 2013

Negara Islam dan Politik Cara Islam (Siri 2)




 
Hubungan Politik Dengan Agama

Sama ada agama samawi yang telah diubah daripada ajaran para Rasul atau agama ciptaan manusia sendiri atau ideologi politik ciptaan manusia, semuanya menegaskan bahawa politik tidak ada hubungan sama sekali dengan agama. Ini membawa maksud bahawa segala urusan agama adalah semata-mata agama sahaja tanpa melibatkan urusan pentadbiran yakni politik. Oleh itu, dalam urusan politik, manusia boleh mencipta dengan akal dan ilmu sendiri tanpa bergantung kepada agama.

Adapun teori politik ciptaan manusia pula tidak ada kaitan dengan agama dan agama tidak boleh menguasainya. Ada juga kalangan yang mengaitkan politik dengan agama tetapi secara dampaknya agama tidak boleh mengatasi keputusan politik. 

Bagi masyarakat Barat yang menganut agama kristian, secara jelas mereka mengisytiharkan pegangan mereka kepada fahaman yang dinamakan sekularisme yang memisahkan politik daripada urusan agama, sehingga ada negara menjadikannya prinsip perlembagaan yang dipertahankan.

Sebahagian mereka menidakkan agama dalam perlembagaan dan ada yang mengumum agama rasmi ataupun agama negara tetapi dengan kuasa yang terbatas. Maka lahirlah di kalangan mereka ideologi dan teori politik yang jelas, samada mengharamkan agama secara mutlak seperti komunisme yang didokong oleh Karl Marx dan pengikutnya, atau membenarkan agama dianut secara bebas, tetapi politik dibebaska daripada agama seperti yang diamalkan dalam negara liberal demokrasi.

Apabila Barat menjadi kuasa besar dunia, maka fahaman ini mempengaruhi masyarakat antarabangsa yang menganut pelbagai agama. Malangnya, dalam kalangan umat Islam juga telah terpengaruh dengannya samada secara jahil atau mencari jalan mudah untuk bebas daripada tekanan politik globalisasi[1].


 

Negara Islam dan Negara Harb

Menurut sebahagian ulama, negara harb ialah negara yang tidak dijalankan di dalamnya hukum hakam Islam dari segi peribadatan dan politik ekoran kewujudannya adalah di luar lingkungan ketuanan Islam. Ini termasuk juga mana-mana negara yang tidak berjalan di dalamnya hukum-hakam Islam meskipun ianya berjiran dengan negara Islam.

Istilah negara harb juga telah digunapakai ke atas negra kafir iaitu wujudnya peperangan antara negara tersebut dengan negara Islam.[2]
 
Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili, beliau menyatakan bahawa: “Daripada definisi kedua-dua negara ini, jelaslah bahawa yang menjadi pegangan dalam perbezaan status sesebuah negara adalah kewujudan kuasa dan aplikasi hukum-hakam. Apabila wujudnya kekuasaan Islam dan hukum-hakamnya maka negara tersebut dikira sebagai negara Islam. Sebaliknya, jika kekuasaan bukan Islam wujud serta hukum-hakam bukan Islam, maka negara tersebut dikira sebagai negara harb.[3]
 
Kesimpulan berdasarkan kepada pandangan Imam Muhammad bin al-Hasan yang mengatakan bahawa perkara yang perlu diambil kira dalam menentukan sesebuah negara ialah kekuasaan serta kekuatan dalam menzahirkan hukum.[4]  

Satu perkara yang harus diberi perhatian adalah maksud negara harb di sisi mazhab Hanafi. Yang mana ianya tidak terimplikasi melainkan negara tersebut menyerang orang Islam secara terang-terangan. Secara mudahnya, adanya kemungkinan untuk berlaku peperangan itu sudah menunjukkan negara itu merupakan negara harb dengan sendirinya.[5]

Jumhur ulama mazhab Maliki dan mazhab Syafi’e mengambil kira bahawa tertegaknya syiar-syiar Islam itu merupakan satu elemen penting bagi menjadikan sesebuah negara itu sebagai negara Islam atua tidak. Apabila terdapat halangan bagi syiar Islam tertegak dan hilangnya kekuasaan orang Islam maka sesebuah negara itu juga dikategorikan sebagai negara harb.[6]



[1] Ibid, hlm. 19-20.
[2] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, jil.1, hlm. 150.
[3] Indahnya Politik Cara Islam, hlm.38.
[4] Syarh as-Sair al-Kabir, jil. 4, hlm. 8-10.
[5] Indahnya Politik Cara Islam, hlm. 39.
[6] Az-Zuhaili, Wahbah Mustafa, Atsar al-Harb fi Fiqh al-Islami, Damsyik, Darul Fikr, cetakan: 3, 1983, hlm: 173-174. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...