Monday, February 25, 2013

Perjalanan Menemui Murabbi Mendekatkan Diri Kepada Rabbi




Assalamu’alaikum warahmatullah.
Alhamdulillah wa syukur lillah.

Setelah beberapa hari menyepi hari ini ingin saya kongsikan mengenai murabbi saya yang amat saya segani. Segan pula bila mengatakan beliau adalah murabbi saya kerana saya sebenarnya bukanlah salah seorang muridnya yang sempat bertalaqqi secara berhadapan dengannya. Namun begitu, tetap ingin saya perkatakan sesuatu di sini moga-moga menjadi peringatan dan ibrah kepada semua.

Travelog ini bukan travelog biasa. Ia merupakan travelog tarbiyah diri. Perjalanan ini bukan perjalanan biasa kerana ia membawa erti luar biasa. Perjalanan mendekati ulama yang berjiwa murabbi.


Imam At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Abu ’Umamah al-Bahili Radhiallahu ‘anhu telah berkata: Bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadat adalah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya para malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan bersalawat (berdoa) untuk orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.”

(Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Perjalanan menemui Murabbi
Membawa erti mengenal Rabbi


Murabbi dalam Islam membawa maksud yang luas melebihi tahap muallim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Justeru, Murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Oleh itu, tugas “Muallim” banyak berlegar di “akal” tetapi tugas Murabbiy berlegar di “hati”.


Alhamdulillah Allah telah memberi beberapa kesempatan kepada saya untuk menemui para alim ulama’. Tetapi murabbi yang satu ini terasa sangat berliku perjalanannya. AllahuAkbar. Sukar hendak saya ceritakan di sini bagaimana saya merasakan sukar untuk menemui beliau. Banyak kali percubaan. Setiap kali pulang ke Kedah pasti hati ini sangat kuat meronta-ronta ingin menemuinya. Tetapi, sangat sukar. Terasa sangat kerdil diri ini berbanding orang lain yang Allah berikan peluang yang besar untuk berdampingan dengan ulama’ sufi haraki ini.

Akhirnya, tanpa diduga pada suatu malam Ramadhan yang lepas Allah memaqbulkan doa hati ini. Alhamdulillah saya dapat menemuinya di Masjid Akar Peluru, Alor Setar. Kelibatnya melalui tabir yang samar dapat saya kenali. Betapa terkejut dan terpakunya saya. AllahuRabbi… terasa indah tarawikh malam tersebut berimamkan tuan guru muda ini. Tetapi, itu hanyalah pandangan di sebalik tabir…dan saya hanya dapat mendengar dengan jelas bacaannya dalam solat tarawikh tersebut.

Kemudian, sekali lagi setelah sela masa tarbiyah diri yang panjang Allah benar-benar memaqbulkan doa saya untuk melihatnya secara berhadapan. Dalam majlis yang sangat indah. Majlis sambutan MaulidurRasul (Lantunan Mahabbah Rasulullah) di Kedah. AllahuAkbar, kali ini lebih jelas di pandangan mata. Air mata ini terasa bagaikan begitu teruja ingin berlari turun. Terima kasih Ya Allah!

Hati ini tetap sentiasa berdoa ingin berdampingan dengan alim ulama. Ingin mendekati mereka yang hati-hatinya sangat dekat dengan Allah dan Rasulullah. Alhamdulillah kali terakhir saya menemui guru kecintaan ramai ini dalam satu majlis ilmu juga Mukhayyam di Kedah. Bersama-sama  dengan sahabat seperjuangan di Kedah mengajar diri ini untuk lebih kuatkan tarbiyah diri. Kali ini dalam majlis tarbiyah ini Allah benar-benar memberikan hadiah yang sangat besar. AllahuAkbar! Betul-betul kali ini lebih dekat dan sangat jelas di pandangan mata. Allah… syukur lillah…

Jika dilihat dari episod perjalanan saya ini betapa sukarnya untuk menemui kekasih Allah yang mana sangat kuat kecintaan kepada Rasulullah. Saya mengambil kesulitan yang saya tempuh itu sebagai tempoh terbiyah daripada Allah untuk saya lebih menyucikan diri dan mendekatkan diri kepadaNYA. Untuk menemui insan yang dekat hatinya dengan Rasulullah s.a.w pun terasa sukar apatah lagi menemui baginda Rasulullah di akhirat kelak. AllahuRabbi… terasa masih lemah diri ini. Moga-moga Allah memberi kekuatan dan mempermudahkan jalan tarbiyah ini.


SYEIKH ZAINUL ASRI
[Da'ie yang Murabbi]




Murabbi ramai Syeikh Zainul Asri


Inilah murabbi saya. Beliau ialah Mudir Pusat Pengajian Darul Hadis, Yayasan Paksi, Kedah. Beliau juga dikenali dengan Pak Long Z.Asri dalam kalangan teman dan rakan. Beliau mendapat pendidikan awal di Maktab Mahmud, Alor Star. Kemudian mendalami ilmu agama di Madrasah Al-Latifiah (Pondok Pak Teh, Kroh) sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Usuluddin (Pengajian Hadis).

Di Mesir beliau sempat berguru dengan beberapa orang Ulama Besar antaranya Syeikh Ismail Adawi dan Al-Allamah Syeikh Zaki Ibrahim. Beliau juga sempat bertalaqqi dengan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari yang pada ketika itu mengadakan pengajian di Masjid Fatah, Mesir.

Antara guru beliau di Malaysia yang banyak memberi kesan dalam kehidupan beliau ialah Syeikh Nia'mat Yusuf yang mengasaskan Badan Dakwah dan Kebajikan Maktab Mahmud suatu ketika dulu. Syeikh Nia'mat Yusuf adalah Murabbi utama beliau dalam membimbing dari sudut Fiqh Dakwah. Ketika di Maktab Mahmud bersama Syeikh Nia'mat, kehidupan beliau diasuh dengan Usrah, Qiyamullail, Daurah Tarbiyah, Mukhaiyyam dan mencetus Biah Solehah dalam kehidupan para pelajar di asrama dan rumah-rumah sewa. Di sinilah bermula kehidupan beliau sebagai Mutarobbi, dan sehingga beliau kini menjadi Murabbi dalam gerakan Dakwah khusus bersama pelajar dan mahasiswa.

Apa yang sangat mengagumkan saya, setiap kali menuturkan sesuatu, mulutnya tidak lekang daripada kalimah selawat dan zikrullah.

Antara mutiara kata beliau:

" Dakwah ini bagai air yang menyusur batu. Walaupun air tidak dapat menembusi batu yang keras, ia akan tetap mengalir di celahan batu tersebut. Mungkin dari atas, bawah, kiri atau kanan. Hakikatnya dakwah pun begitu, walau sebesar mana pun halangannya, ia perlu sentiasa berjalan."


Pendidikan :
- Maktab Mahmud, Alor Setar
- Madrasah Al-Latifiah (Keroh)
- Universiti Al-Azhar (Fakulti Usuluddin - Hadis)
- Darul Ifta', Kaherah, Mesir.
Anugerah :
Bintang Khidmat Masyarakat (BKM) oleh KDYMM Sultan abdul Halim Muadzam shah


Srikandi Al-Azwar,
14 Rabi’ulAkhir 1434H/ 25 Feb ‘13
Bayt Mu’allimah Sri Al-Ummah

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...