Monday, January 28, 2013

Lantunan Mahabbah Rasulullah



Alhamdulillah wa syukur lillah…

Entri kali ini adalah travelog tarbiah saya. Bersama kita hayati sebentar.


Dua hari yang lalu dapat juga saya merasa duduk bersama dalam satu majlis yang cukup indah. Iaitu majlis Lantunan Mahabbah Rasulullah yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kedah bertempat di Stadium Suka Menanti, Alor Setar. Majlis yang berlangsung selama 3 hari 3 malam itu sangat indah sekali pabila dihiasi penuh dengan majlis-majlis ilmu dan juga lantunan-lantunan qasidah. Dan malam Ahad tersebut merupakan malam terakhir. Subahanallah, terasa seperti berada dalam taman syurga dengan hadirin yang rata-ratanya berpakaian serba putih. Indah sekali!

Subhanallah… MasyaAllah…

Imam Syafie rahimahullahu Ta’ala pernah berkata;

“Aku mencintai orang-orang soleh sekalipun aku bukan sebahagian daripada mereka, aku berharap mendapatkan syafaat dari mereka. Aku benci orang yang gemar melakukan maksiat, sekalipun aku juga pernah melakukannya.” 
Hati ini dibaluti dengan satu perasaan bahagia. Terasa indah sungguh dapat bertemu mata dengan Tuan Guru-Tuan Guru yang amat saya rindui selama ini yakni Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki. Tambah pula rasa teramat teruja bilamana dapat jua melihat secara ‘live’ Syeikh Zainul Asri Haji Ramli di sana. Alhamdulillah…AllahuAkbar!!! Allah makbulkan jua permintaan hati kecil ini akhirnya… Terima kasih ya Allah… Daku teramat gembira!

##Untuk lihat rakaman majlis antum boleh stream di: http://www.ustream.tv/recorded/28818922


Video streaming by Ustream


Sematkan kecintaan dan kerinduan kepada baginda Rasulullah


Dari Anas radhiallahu anhu, dari Nabi shallallahu alaihi wasalam, bahawasanya baginda Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Tidaklah (sempurna) iman salah seorang di antara kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada orangtuanya, anaknya dan segenap umat manusia." (Muttafaq Alaih)

Sahabat-sahabat, paling tidak jika kita tidak dapat mengingati atau membayangkan baginda Rasulullah sekurang-kurangnya usahakanlah untuk tidak mengecewakan baginda. Lihatlah amalan-amalan seharian kita. Adakah sudah benar-benar santun dan jauh dari kecelaan?

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang sangat mulia! Budi pekerti baginda amat menambat hati seluruh isi alam. Malah kemuliaan baginda menandingi seluruh para Nabi dan Rasul. Nama baginda Rasulullah “Muhammad” itu sudah lama terletak dan terpampang di samping nama Allah di langit sana. Subhanallah…
          
Tambahan lagi Allah pernah berfirman kepada Nabi Adam a.s dalam satu hadis Qudsi yang mafhumnya:

“Kalau bukan kerana Muhammad, Aku (Allah) tidak akan ciptakan kamu (Adam). Kalau bukan kerana Muhammad juga Aku tidak akan jadikan syurga dan neraka.”

Subhanallah… MasyaAllah…

Sungguh tinggi kedudukan baginda di sisi Allah. Sehinggakan Allah dan para Malaikat sentiasa berselawat ke atas baginda. Allah… kita bagaimana pula? Selalukah meniti di bibir kita selawat ke atas baginda?

Para Nabi dan Rasul memperakui kemuliaan baginda Rasulullah. Malah, menjadi umat Muhammad itu punya 1001 kelebihan. Kerana mulianya baginda di sisi Allah umat Muhammad s.a.w juga mendapat tempiasnya. Disayangi dan diberi kelebihan yang banyak berbanding umat-umat Nabi yang lain. Lantas kita bagaimana? Tidak terasa bangga dan terujakah dijadikan umat baginda Rasulullah?


Pengakhiran, lenturlah hatimu…

Wahai Purnama... Wahai Purnama…

Yang indah lagi sempurna…

Bagaimana… Bagaimana…

Nak kuluah dengan kata-kata…

(petikan dari bait qasidah)

Sungguh. Sungguh tak dapat nak dliuah dengan kata-kata. AllahuAkbar! Terasa syahdu pabila melantunkan bait-bait qasidah bersama sekalian hadirin dalam dewan nan indah tersebut. Memang benarlah bilamana kita berada dalam kalangan orang-orang soleh di dalam satu majlis ilmu nescaya hati kita menjadi sangat kuat mengingati Allah dan baginda Rasulullah… Subhanallah! Indah sekali… Tidak terucap dengan kata-kata ini… Andailah Rasulullah bersama-sama kita saat itu… Tentu sekali baginda tersenyum gembira melihatkan penyatuan umat-umatnya. Duhai Rasulullah, walau engkau tidak bersama kami tika ini aku teramat yakin bahawa engkau mendengar rintihan rindu kami. Syafa’atkanlah kami…

Wahai para muhibbin…

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah… marilah sama-sama kita menyematkan baginda dalam hati kita. letakkan seluruh rasa cinta kita buat baginda Rasulullah. Nescaya kita akan mendapat cinta daripada Allah. Moga dengan kita mencintai baginda dan mengikuti segala sunnah baginda membuatkan baginda kenal akan kita di akhirat kita. Seterusnya melayakkan kita untuk mendapat syafaat daripada baginda. Bukankah itu yang kita idam-idamkan selama ini…



Salam Mahabbah Rasulullah…

Srikandi Al-Azwar,
15 Rabi’ulAwwal 1434H/ 27 Januari 2013
Baiti Jannati

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...