Wednesday, November 13, 2013

Episod kesakitan. Merasa sakit itu nikmat.





Bercakap tentang sakit itu sebuah kenikmatan, memutarkan minda saya kepada beberapa minggu yang telah berlalu. Allah beri sakit. Entah kenapa bila ingat kembali terasa sedih dan sebak. Tetapi tetap ingin saya kongsikan di sini.. Moga menjadi sebuah sandaran ingatan bersama.

Allah… DIA memang Maha Mendengar kan…

Satu hari tu tekak ni terasa perit sangat. Susah suara nak keluar. Habis sahaja kelas berganti kelas lain pula untuk diajar. Ya, memikul tanggungjawab guru bukannnya mudah. Walau dalam keadaan bagaimana sekalipun perlu komited dalam melaksanakan tugas. Tekak perit dan tak ada suara pun perlulah tetap mengajar anak-anak pelajar. Begitulah rutin seharian. Kena pula mengajar kelas-kelas ‘belakang’ dan dengan ramai pelajar lelaki haruslah suara ini bagaikan hilang dan terus menghilang.

Sakit tekak yang tak lega-lega kemudiannya disusuli dengan batuk-batuk pula…
Kemudiannya diikuti dengan selsema pula…


Tuesday, October 15, 2013

Bila Hati Berbicara




Hati kata: “Wow….suka la benda ni, nice!! Nak, nak!!!”

Hati kata: Sambil tersipu-sipu “sebenarnya saya suka dia…”

Hati kata: “Wei, ko jaga sikit ek, tengoklah apa aku buat ko nanti” menggelegak terbakar hatinya.

Hati kata: “Astaghfirullah… sungguh, aku benar-benar menyesal atas segala perbuatanku…”

Hati kata: “Aish, tak baik la dia ni…asyik mengumpat ja dia, baik aku jauh-jauh sikit, bahaya ni”



Salam EidulAdha. Salam tadhiyyah.

Macam-macam benar monolog hati kita ni sebenarnya. Kekadang hati kita berbisik perkara baik, kekadang pula yang tak baik.


Kenapa ya begitu?


Puncanya iman & amalan.

Jika baik amal soleh kita maka insyaAllah baik jugalah iman kita. Maka baiklah dalaman kita.
Jika sudah kotor atau kurang baik amalan kita pada hari itu maka hati kita pun turut jadi kurang baik bicaranya. Hati jadi  gersang dengan zikrullah, selawat dan berfikiran yang baik. 

Tuesday, September 17, 2013

Rayuan Rindu Sakeena -Siri 3-


O
rang kata cinta itu sangat manis. Macam gula. Gula yang manis itu sangat diingini oleh semut. Sanggup makhluk kecil itu berkerumun kepada sebutir gula hanya sekadar ingin merasai nikmat rasa manisnya gula. Seperti itu juga manusia, sangat suka merasai manisnya cinta. Sehinggakan sanggup berbuat apa sahaja demi merasai manisnya cinta. 

Sakeena. Sepotong nama nan indah dan tenang dengarnya setenang dan seindah maksudnya, ketenangan.

Erti hidup baginya adalah kebebasan. Bebas melakukan apa sahaja. Telah sebati istilah itu mengakar dalam dirinya. Sejak kecil lagi. Apa sahaja yang diinginkannya pasti sahaja sekelip mata dia peroleh. Tidak pernah dia merasakan susah. Sebut sahaja. Makanan, pakaian, hiburan, apa semua yang terlintas pastinya termakbul. Sungguh indah hidupnya. Bagaikan syurga!

Wednesday, September 11, 2013

FORMULA PENTING MATEMATIK UPSR



Seringkali anak-anak pelajar menghadapi masalah dalam menganalisis potensi diri dalam pembelajaran. Kekadang masalah yang kecil dikatakan besar. Sedangkan potensi dirinya adalah besar berbanding sangkaannya.

Begitu juga halnya dalam subjek MATEMATIK. Seringkali pelajar berasa susah. Sedangkan sebenarnya tanpa sedar masalah utamanya adalah FORMULA. Sangat sayang sebenarnya anak-anak pelajar yang punya potensi A+ tidak dapat menjawab soalan hanya kerana kekeliruan dalam penggunaan formula. Justeru, di sini ingin saya kongsikan beberapa formula yang dikira penting dalam menjawab soalan matematik. Selamat mencuba!



Nombor, Perpuluhan dan Masa 


Jarak, Jisim dan Isipadu


Luas, Isipadu dan Perimeter




Purata dan Peratus


Terima kasih atas kesudian anda mengambil sedikit perkongsian input dari blog saya ini. Saya cuba membantu sekadar kemampuan saya. Jika ada sebarang permasalahan berhubung kaedah ini boleh e-mail terus secara personal kepada saya. Kepada yang ingin saya kongsikan kompilasi formula ini sila tinggalkan alamat e-mail anda di dalam ruangan komen di bawah.

Moga bermanfaat! Syukran!


Srikandi Al-Azwar,
nur_mylp@yahoo.com  

Tuesday, August 20, 2013

Sangat Sukar Jalan Ini!


Assalamu’alaikum. Salam Eid Mubarak. Taqabbalallahu minna wa minkum taqabbal Ya Kareem…
Perginya Ramadhan meninggalkan kita bagaikan satu kehilangan yang amat terasa. Perginya insyaAllah akan kembali dengan izin Allah Subhanallah wa Ta’ala.




Tarbiyyah diri di Bulan Tarbiyyah.

Pasti kita semua telah sedaya upaya mendidik diri menjadi hamba Allah yang lebih baik. Terasa mudah sahaja segala amal kebaikan dilakukan. Semangat juga berkobar-kobar. Cepat sahaja kaki melangkah pabila seruan azan kedengaran. Ringan sahaja lidah melantunkan ayat-ayat suciNYA. cerah sahaja mata berjaga malam bermunajat menghadap Allah Rabbul Izzati. Sehingga boleh dikatakan segala-galanya berlaku luar dari kebiasaan!

Ajaib? 

Tidak ajaib sebenarnya.  Suasana itu sendiri sebenarnya sangat membantu. Bahkan kita sedia maklum bahawa nafsu kita juga lebih jinak dengan kebaikan setelah gangguan jahat syaitan tidak menjadi ancaman kita. Jadi, lebih mudahlah kita cenderung mendekati Allah…

Saturday, July 13, 2013

Rayuan Rindu Sakeena -Siri 2-


 Assalamualaikum. Alhamdulillah siap satu entri yang sudah lama sangat rasanya nak sambung tapi tak tersambung-sambung dek kerana komitmen yang berantaian. Entri sempena Ramadhan insyaAllah..

Diharap sambungan cerpen ini membuka peluang dan ruang yang lebih besar buat saya untuk terus berkarya. Saya amat mengharapkan sebarang komentar (positif atau negatif) insyaAllah demi sebuah hasil penulisan yang lebih mantap. 
Baca Siri 1 (intro)

SELAMAT MEMBACA!!!

___________________________________________________________________________

 

“Sakinah…”


“Sakinah……”

Tubuh itu kaku tidak berkutik.

“Sakinah………” dengan penuh sabar pemilik suara itu terus menyeru. Gadis itu tetap tidak berganjak daripada hujung kaki tubuh insan yang terbaring lemah di hadapannya. Dengan perlahan-lahan tangannya menguis sedikit hujung kaki yang bertutup dengan kain sembahyang itu. Akhirnya tubuh itu mengunyai juga bergerak. Menggeliat sedikit. Namun matanya masih terpejam rapat.

“Sakinah….bangun dik… Sakinah dah solat ke? dah masuk subuh ni”. Seperti baru tersedar tubuh itu. Tergesa-gesa sahaja badannya melantun bangun dari pembaringannya.

“Pukul berapa dah kak? Keena tak solat lagi ni.” Buru-buru dia membuka telekungnya dan bergegas ke tandas.

“Eh dik, awal lagi ni, baru ja masuk subuh… gelap lagi tu ha kat luar tu!” Sedikit melaung suara gadis yang sudah lengkap berjubah rona merah jambu itu.

Setelah menyegarkan diri dengan air wudhuk, Sakeena segera keluar dari kamar mandi. Lantas didapatinya Wardah sudah siap berteleku di atas tikar sejadah berserta sehelai sejadah lagi terhampar di sebelahnya.

“Dah siap dik? Kita solat sekali ya?” Insan yang bernama Wardah itu mengalihkan sedikit badannya sambil tersenyum menampakkan lekukan kecil di pipi kanannya.

“Ya kak, kejap ya nak pakai telekung” Sakeena menghadiahkan kembali senyuman yang dirasakan paling menawan kepada kakak ‘angkatnya’ itu.

“AllahuAkbar….”

Hening pagi itu dibelah dengan gemersik alunan suara Wardah. Ayat-ayat suci dari Surah Al-Waqiah dibaca bagi solat dua rakaat itu. Sakeena tenggelam dalam lautan rasa. Betapa kini baru dapat dia merasa satu kenikmatan yang tidak terkata. Berasa hampir dengan Allah. Dirinya amat mensyukuri peluang yang Allah kurniakan kepadanya untuk kembali berada di atas jalan putih bersih. Segala kenangan lama itu pastinya tidak sekali-kali dapat dipadam dari kotak memorinya. Apa yang mampu dilakukannya adalah mengambil iktibar dan membina benteng diri yang benar-benar kukuh. Mudah sahaja hatinya tersayat pilu. Titik jernih itu mengalir kembali dalam sujudnya mengahadap Ilahi…

Usai sahaja solat, mereka teruskan pula dengan zikir ma’thurat sughra. Bibir Sakeena terkumat-kumit cuba mengikut rentak bacaan Wardah. Biarpun Wardah membaca secara lambat-lambat tetap sahaja lidahnya berasa begitu keras tergeliat untuk menurut. Ini bukanlah kali pertama dia belajar membaca zikir itu. Tetapi sudah hampir sebulan! Namun, tidak sekali-kali dia berasa putus asa. Dia tahu inilah jalan yang terbaik buatnya. Apa yang pasti dia semakin tenang setiap kali duduk berzikir kepada-NYA.

“Sakinah tidur atas lantai ke sepanjang malam semalam?” Wardah memulakan bicaranya.

“Eh, taklah kak. Saya tidur atas sejadah” Sakeena membalas dengan sedikit lelucon.

Ringan sahaja tangan Wardah menampar peha Sakeena, “eei budak ni, orang tahu la atas sejadah…”

“Hehe sorry la Kak Da, saja je nak melawak…boleh kan…?” menyeringai Sakeena memandang Wardah. Lalu kepalanya direbahkan ke pangkuan insan yang kini amat disayanginya. Wardah yang sudah mula memahami karakter adik angkatnya itu membiarkan sahaja. Tangannya perlahan bergerak mengusap rambut coklat keperangan yang panjang mengurai itu. Rambut itu sangat cantik. Ya, sangat cantik seperti itu juga wajah pemiliknya. Rambut lurus yang sebelum ini pernah terdedah itu Alhamdulillah kini bertambah cantik tersembunyi di sebalik hijab iman dan taqwa.

“Alhamdulillah….” Tidak semena-mena keluar kalimah hamdalah itu dari dua ulas bibir Wardah.

Sakeena yang mendengar sedikit kehairanan, segera dipanggungkan kepalanya menghadap wajah Wardah. “Apa? Alhamdulillah? Maksud akak? Keena tanya kak ada plan apa-apa tak hari ni kan...”

“Oh, maaf-maaf… Kak fikirkan pasal Sakinah tadi”

“Ek? Fikir pasal Keena?” tersenyum Wardah melihat gelagat Sakeena.

“Yela… kak seronok tengok perubahan adik akak sekarang” dipautnya dagu Sakeena dan digoyang-goyang wajah itu.

“Ye kan kak, bila difikirkan memang Keena rasa macam tak percaya. Bersyukur sangat…alhamdulillah” "Ya dik...Sakinag tanya kak ada apa-apa tadi? Emm...ada, nak gi pasar pastu petang sikit nak gi ziarah Raudhah" 

"Ye ke, bestnye, rindunya kat sana...boleh Keena ikut sekali?" 

"Mestilah boleh sayang...kalau boleh lain kali tidur tu betul-betul ya, jangan suka tidur  atas lantai, kena jaga betul-betul kesihatan tu..."

"InsyaAllah kak...Keena tak sedar sebenarnya semalam tu...Bila entahnya tertidur" Sakeena jujur sahaja menjawab sambil tersengih. Sebetulnya dia amat menyenangi cara layanan Wardah kepadanya. Sungguh mengambil berat akan dirinya. Sakeena akui itulah yang dia amat dambakan selama ini. Jiwanya sangat gersang dengan belaian kasih sayang insan-insan tersayang. Dan mungkin kerana itulah dulunya dia pernah mudah menjadi kabur dengan huluran kasih dari yang tidak sepatutnya. Ah, jangan diingat lagi semua itu!!!

"Em bila lagi next check-up Sakinah?” pertanyaan Wardah memecahkan lamunannya.

“Emm…...tak ingat la” wajah itu kelihatan berubah sedikit muram.

“Nanti check semula ya tarikhnya, insyaAllah lepas ni kak temankan Sakinah ok”.

Alright…” Ringkas sahaja jawapannya. Suasana terasa hening semula. Hujung minggu begini memang lambat kawasan perumahan yang mereka duduki itu ‘terjaga’. Apatah lagi kedudukan rumah mereka terletak di lorong paling hujung.

“Em… kak nak gi pasar ni, Sakinah nak ikut?”

“Em tak kut….” “Ok kalau gitu Kinah rehat-rehat ya, tak perlu banyak bergerak sangat… tunggu akak balik tau” dicuitnya sedikit hidung mancung Sakeena. Tidak ingin dia biarkan suasana terus-terusan muram. Dia memandang Sakeena lama. Mesti ada sesuatu yang mengganggu benaknya. 'Em, tak apalah. Biar dia tenang dulu' hati Wardah berkata-kata.  


****************



Sakeena bangun dari duduknya setelah Wardah telah keluar ke pasar. Perlahan-lahan dia mengaturkan langkahnya menuju ke tingkap biliknya itu. Dari bukaan tingkapnya dapat dilihat tepi masjid dengan jelas. Rumah sewa kakak angkatnya itu berada di tingkat dua. 





Rumah 4 tingkat yang dibina di atas tanah lot yang agak luas itu sangat besar binaannya yang mana dijadikan oleh tuan rumah 2 buah rumah sewa, 2 buah homestay, dan 3 buah bilik sewa. Tuan rumah yang tinggal di tingkat paling bawah itu sangat baik hati. Sakeena berasa tenang dapat bersama-sama orang yang baik lagi soleh. Tetapi, seperkara yang dia akui adalah hatinya kekadang tetap berkocak dari ketenangan.

Tidak selamanya dia boleh hidup seperti pelarian bukan?

Tidak selamanya dia dapat sembunyikan segala kenyataan bukan?

Tidak selamanya dia harus mengharapkan ihsan insan-insan sekelilingnya bukan??

Pelbagai lagi persoalan yang menujah-nujah benaknya. Persoalan yang tidak perlukan jawapan. Tetapi satu tempelak provokasi yang sering menghantui diri setiap kali dia memandang perutnya yang kian membesar. Ya, ianya kian menampakkan wajah sebenarnya!

Perlahan-lahan tangannya diletakkan ke perutnya. Tidak selamanya dia dapat bersembunyi dari kenyataan sebenar. Dia tahu akan hakikat yang satu itu. Tetapi apakan daya kekadang mindanya tidak dapat dikawal sepenuhnya. Peristiwa hampir dua bulan yang lalu kembali terlayar di fikirannya….


Bersambung….
Baca Intro RRS >> 

Srikandi Al-Azwar
nur_mylp@yahoo.com

Tuesday, July 9, 2013

Negara Islam dan Politik Cara Islam (Siri 3)



Anggapan tentang Tidak Ada Agama dalam Politik dan Tidak Ada Politik dalam Agama

Jika dilihat kepada sejarah para Rasul, terdapat banyak iktibar yang dapat kita ambil. Antaranya, kisah Nabi Isa. Setelah Nabi Isa A.S. diselamatkan oleh Allah dengan diangkat ke langit (sebenarnya mereka tidak dapat menangkap, membunuh dan mensalibnya). Datang seorang yahudi bernama Paul telah memesongkan ajaran injil yang sebenar. Ada para sahabat Nabi Isa yang taat setia dinamakan hawariyyin menjadi buruan dan dibunuh. Ajaran yang menyeleweng inilah yang telah dibawa ke Eropah oleh raja Rom, seterusnya mengubah kandungan sebenar ajaran ini dengan fahaman keberhalaannya.

Keseluruhan ajarannya tidak ada aspek politik. Dalam masa yang sama para paderi telah memperalatkan agama untuk mempengaruhi masyarakat, termasuklah mengumpulkan harta kekayaan di atas nama mengampun dosa dan sebagainya. Akhirnya berlaku perselisihan di antara istana dan gereja. Apabila pihak istana lebih kuat, mereka membuat keputusan bahawa pihak gereja dan para paderinya tidak dibenarkan mencampuri urusan pemerintah (politik).

Bahkan, banyak kitab injil yang diharamkan, hanya empat sahaja diizinkan. Injil Matthew adalah salah satu yang diizinkan itu dengan jelas menyatakan secara nas :

“Perkara yang berkait dengan Tuhan terserah kepada Tuhan dan apa perkara yang berkait dengan Raja terserah kepada Raja.”

Hal ini bermaksud agama tidak ada kaitan dengan politik. Dari segi perkara yang lain ialah pertembungan tamadun kebendaan (material) barat hasil daripada pengaruh tamadun Islam yang menghasilkan revolusi industri. Apabila ramai kalangan ilmuan barat yang mempelajari ilmu duniawi di negara-negara umat Islam yang lebih maju daripada mereka.

Mereka hanya menimba ilmu duniawi tanpa mengambil Islamnya, pengajian ilmu berlaku sebanyak-banyaknya sehingga berlaku gerakan penterjemahan ke dalam bahasa barat daripada bahasa arab daripada berbagai-bagai sudut ilmu. Agama kristian yang tidak mampu menghadapi perkembangan tamadun Islam yang hebat menjadi sebab berlaku pertembungan di antara ahli sains dan tokoh-tokoh paderi, berakhir juga dengan pemisahan di antara kepaderian dan sains.

Gejala tersebut di atas menyebabkan lahirnya berbagai-bagai teori dan ideologi dalam ilmu kemasyarakatan dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Kecelaruan yang berlaku dalam dunia hari ini, bermula daripada gejala sosial, kecelaruan politik, penyelewengan pentadbiran, sehinggalah ancaman keselamatan dan perubahan cuaca adalah tanda kemusnahan daripadanya.

Firman Allah :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي 
عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah zahir dengan nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya (Allah) merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar Rum:41)


Orang-orang yang beranggapan bahawa agama tidak mempunyai hubungan dengan urusan politik, yang sudah mengakar sejak jauh-jauh hari,dan mereka yang menciptakan kebohongan bahawa tidak ada agama dalam politik dan tidak ada politik dalam agama, yang muncul pada hari-hari kemudian, justeru merupakan orang pertama yang mendustakan perkataan dan perbuatannya.

Mereka itu justeru seringkali merujuk kepada agama untuk mengambil darinya suatu perangkat (alat) untuk kepentingan politiknya danmenghadapi lawan-lawannya. Tidak jarang mereka memanfaatkan orang-orang yang lemah dan tersisih dari kalangan tokoh agama, agar mengeluarkan fatwa tertentu yang ditujukan kepada orang-orang yang melawan kebijakan politiknya, yang isinya: Ini batil menurut agama dan tidak tepat menurut kehidupan.[1]


Kesimpulan: Islam Tidak Ada Ertinya Tanpa Politik

Perlu dinyatakan secara terus terang dan sejelas-jelasnya, bahawa Islam yang benar seperti yang disyariatkan oleh Allah, tidak akan menjadi seperti itu kecuali jika ia berwawasan politik. Jika engkau melepaskan Islam dari urusan politik, bererti engkau menjadikannya agama lain, boleh agama Budha atau agama Nasrani atau lainnya.

Dalam masalah politik dalam Islam, ianya juga boleh disandarkan kepada dalil al-Quran dalam Surah ar-Rum: 2-4  (yang bermaksud), “Telah dikalahkan bangsa Rumawi (yang berpusat di Konstantinopel),di negeri yang terdekat (terdekat ke negeri Arab iaitu Syria dan Palestina) dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang, dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman”.

Inilah merupakan sebuah ayat politik yang menceritakan tentang isu semasa pada zaman Nabi s.a.w. Dalam ayat tu menceritakan tentang perang antara Rom dan Parsi yang merupakan dua kuasa besar ketika itu. Sedangkan kerajaan Rom itu merupakan kerajaan kafir, tetapi jika diteliti Allah menyampaikan dalil ni bagi memberi peringatan kepada kita bahawa perlunya ada seni dalam berpolitik.

Politik Islam bukan sahaja bergaul dalam kalangan Islam sahaja tetapi ianya perlu dikuatkan dengan pertalian kuat dengan negara kafir yang dapat membantu kita dalam mengukuhkan kedudukan pentadbiran kita. begitu juga dalam konteks negara kita, perlunya ada satu hubungan politi yang berwawasan jauh seperti mewujudkan sebuah tahalluf siyasi. Hubungan politik bersama orang kafir ini bukanlah satu perkara baru, malah ianya merupakan sunnah baginda Rasulullah s.a.w. Baginda telah meladeni kepada kita cara berpolitik secara matang dengan mentautkan hubungan erat dengan orang kafir di Madinah. Ternyata, praktikal politik Rasulullah s.a.w ini sangat berjaya dalam mempercepatkan proses negara Islam pertama Madinah diwujudkan.

Jika kita bertindak memisahkan antara politik dengan Islam ternyata amat rugi bagi kita. Hal ini kerana politik cara Islam merupakan mainan politik yang terbukti jelas paling hebat dalam sejarah pentadbiran sebuah negara. Dengan politik cara Islamlah membuatkan penaklukan demi penaklukan berlaku secara meluas sehingga ke Barat. Amat sayang sekali, melalui sejarah kita dapat lihat kejatuhan Islam amat merudum sekali apabila berlakunya kejatuhan kuasa besar sistem Khilafah Islamiyyah di Turki dahulu. Perkara ini harus menjadi satu iktibar yang besar bagi kita untuk bersatu semula mengumpulkan sinergi dalam menegakkan daulah Islamiyah.


[1] Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fiqh Daulah dalam Perspektif al-Quran dan As-Sunnah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...