Monday, August 15, 2011

Janji Yang Pasti (Bab 5)



Usai solat subuh berjemaah, Aqilah mencapai tiga naskhah kecil yang tertulis Al-Ma’thurat di hadapannya lalu melabuhkan dirinya berdekatan dua orang sahabatnya. Ruwayda dan Hakimah tidak ketinggalan turun ke surau pagi itu.

Mereka mula mengalunkan wirid tersebut dengan membaca Surah Al-Fatihah. Kemudiannya dilanjutkan dengan lima ayat pertama Surah Al-Baqarah, ayat kursiy dan ayat-ayat seterusnya. Alunan secara sederhana yang tidak kuat juga tidak terlalu perlahan itu dilafazkan lancar oleh tiga gadis itu. rutin yang sudah menjadi kewajiban pada setiap pagi bagi mereka.
Selesai zikir, Aqilah membaca doa dan diaminkan Ruwayda dan Hakimah.

“Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini… 
telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, 
bertemu untuk mematuhi (perintah)Mu, 
bersatu memikul beban dakwah-Mu, 
hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu, 
maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. 
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalan-Nya (yang sebenar). 
Penuhkan (piala) hati-hati dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu. 
Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu….. 
(Jika Engkau mentaqdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agama-Mu. 
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. 
Ya Allah perkenankanlah permintaan ini…”  

Ketika sampai ungkapan “hati-hati” yang paling awal dalam doa Rabitah itu, Aqilah memberhentikan lafaznya, mereka bertiga memejamkan mata bersungguh-sungguh berdoa dalam hati. Masing-masing membayangkan wajah-wajah yang mereka harapkan dari Allah agar dikuatkan ikatan hati. Rabitah yang bermaksud ikatan itu merupakan doa yang baik dalam penyatuan hati-hati.

“Jom kita sarapan kat kafe tumpang tak ramai orang lagi ni.” Ruwayda bersuara perlahan sesudah selesai al-Mathurat tadi. 

“Ok juga tu, after makan boleh terus start keje lain... Enti Qila?” Hakimah mengalih pandang kepada Aqilah. Dia kelihatan sedang memikirkan sesuatu.

“Em..  boleh juga tu, ana panggil Jasmin turun dulu ya” Aqilah mengeluarkan telefon bimbit Sony Ericsson C903 miliknya dan mendail nombor yang tertulis ‘Min Roomate’.
“Assalamualaikum Min.”

“Waalaikumussalam..kenapa Qila?” 

“Nak ajak breakfast kat kafe sekali Hakimah dan Ruwayda.. Min turun ya, dah cerah dah ni.”

Ok ok. Give me ten minutes ok, kita jumpa kat kafe.” 

 Hakimah menutup lampu dan air-coned surau. Mereka kemudiannya berjalan ke kafetaria yang terletak di sebelah Pejabat Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar Kolej Seri Angsana. Kafetaria yang mempunyai lima buah kedai makanan dari tauke yang berbeza menyajikan citarasa yang pelbagai kepada pelanggan terutama pelajar. Itulah kafetaria terbesar dan menjadi kunjungan ramai di universiti mereka. 

Sekitar jam tujuh pagi begini belum ramai lagi yang turun ke bawah apatah lagi hari Sabtu kebanyakan pelajar tiada kuliah kecuali adik-adik yang ada aktiviti kokurikulum. Jika hari kuliah waktu sebegini sudah sesak dengan pelajar yang bersarapan dan menunggu bas untuk ke kuliah.

Suasana yang lengang sebegini sahaja mereka bertiga merasa tidak segan untuk makan di kafetaria. Mana tidaknya, ruang makan yang bercampur lelaki dan perempuan itu terkadang terasa sesak di pandangan dengan pelbagai ragam pelajar sehingga mereka yang melihat naik segan. Ketika waktu pack dengan orang ramai mereka lebih senang memilih untuk ‘tahpau’ sahaja makanan dan makan ‘berjemaah’ di surau atau di mana-mana rumah sahabat. Boleh makan bersuap antara satu sama lain. Ukhuwah juga bertambah erat terjalin.

Meja makan yang selalu menjadi port mereka sudah semestinya di penjuru kafetaria. Di samping untuk privacy, ada kolam ikan di situ yang membuatkan kaki mereka terus sahaja melangkah ke sana. Kolam tersebut baru sahaja dibina semasa Gotong Royong Perdana kolej mereka anjuran Exco 3K semester lalu. Dengan adanya air terjun buatan pada kolam tersebut menambahkan tarikan ramai untuk berhenti menjamu mata walau sebentar. Beberapa jenis ikan yang sudah membesar dan berenang-renang di dalamnya bisa meralitkan pandangan mata yang melihat. 

Mereka duduk berbual sambil sementara menunggu Jasmin tiba. 

“Qila, sibuk tak hari ni ke esok ke? Kitorang plan nak ke bendar. Nak join?” Hakimah memulakan bicara.

“Nak kata sibuk tu tak la sangat. Tapi ada beberapa kerja nak kena settle. Siang ini ana fikir nak siapkan segala assignment minggu lepas yang masih dalam proses. Malam ni ana ada meeting exco. Esok ana pack sikit. Pagi ada usrah dengan adik-adik ana, petang usrah kawasan sekali dengan meeting kemudian malam pula meeting PMI”.

Enti ni kata tak sibuk sangat, sibuk la tu..” Ruwayda membalas sambil menggeleng kepala. Aqilah tersenyum mendengar bicara sahabatnya itu.

“Begitulah asam garam dalam berjuang.. Rasa masam dan masin ni pencukup rasa. Kalau kurang rasa kuranglah sedapnya nanti. Penat yang masam dan sibuk yang masin itu akan menjadi satu perasa makanan yang enak dalam membentuk acuan  jiwa robbani yang kental. Kalau rasa nak dapat komen negative terhadap masakan kita di akhirat nanti boleh juga, cuma akan menyesal la pula nanti di hadapan Allah...” Ruwayda dan Hakimah mengangguk-anggukkan kepala mereka. Bersetuju dengan ungkapan yang terlahir dari bibir Aqilah yang bagai tidak pernah jemu memberi nasihat.

“Assalamualaikum… eh, korang tak beli makanan lagi?” Sapaan Jasmin menghentikan sesi tazkirah ringkas mereka. Di mana-mana pun boleh jika nak bertazkirah. Hati-hati yang sentiasa mendambakan redha Allah pasti tidak jemu untuk menadahkan telinga walau sebentar untuk mencuci hati yang bertitik dosa.  

“Kita beli sekali la baru syok..apa lagi kita tunggu, jomlah..” Hakimah sudah berdiri di sisi meja.

“Eh jap, kena ada sorang jaga tempat, sapa yang nak stay sini?” 

“Ana je la, enti tolong belikan untuk ana ya” Aqilah menawarkan dirinya.

“No problemas….” Hakimah cukup arif dengan menu pilihan sahabat baiknya itu. Tiga tahun mereka bersahabat. Dalam berukhuwah, perihal sahabat ‘wajib’ tersemat kemas dalam ingatan. Tarbiyyah dari tamrin dan usrah cukup menyatukan hati mereka. 

Mereka rapat bagaikan sebuah keluarga. Uniknya mereka, yang mengikat hati mereka bukan pertalian darah tetapi ikatan dari lafaz janji setia dalam satu saff perjuangan yang menyambung rantaian perjuangan baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda radhiallahu ‘anhum.

Tidak sampai sepuluh minit Ruwayda, Hakimah dan Jasmin berjalan menuju ke tempat makan mereka semula sambil menatang dulang makanan dan air.


***


Sesudah makan, mereka berpecah mula melangkahkan kaki ke bilik masing-masing. Hakimah dan Ruwayda menuju ke arah yang sama. Manakala Aqilah dan Jasmin beriringan ke bilik mereka. Ketika hampir dengan blok Nailah Al-Farafisyah, mereka berpapasan dengan YDP kolej, Muhammad Fateh. Dia kelihatan membawa beberapa kepingan kertas di tangannya.

“Assalamualaikum, jap Aqilah ana nak bincang sikit dengan enti

“Waalaikumussalam, ya ada apa ya?” Aqilah memandang sekilas wajah Fateh kemudiannya menghalakan pandangannya sedikit ke arah lain. Cukup sebagai confirmation orang yang mahu bercakap dengannya. Pandangan matanya ditundukkan sedikit tidak dibiarkan tepat menikam mata si adam tetapi cukup sekadar dengan wajahnya yang diangkat menghadap ke arah insan di hadapannya itu.

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya..”  

Ayat 31 dalam surah an-Nur itu tersemat kukuh dalam dadanya. Dia cuba sedaya upaya menjaga ayat-ayat Allah dan mempraktikkan sebaiknya. Bukan hanya terlafaz ketika membaca Al-Quran sahaja tetapi menterjemahkannya ke dalam kehidupan seharian.  

“Pasal yang kita bincangkan semalam tu kan, ana cadang kita buat solat hajat. Kita jemput Ustaz Firdaus misalnya untuk bagi sedikit ceramah tentang hal ni dan mintak tolong 'pagar' kolej kita. Bagi pihak enti mungkin boleh bincang dengan felo penyelaras untuk uruskan hal ni. Ok tak enti rasa?”

“Baik cadangan tu, ana ada terfikir nak panggil ustaz yang pandai pagar-memagar ni. Ok ana cuba usahakan. Malam ni di meeting exco ana akan bangkitkan hal ni. ”

“Ok lah macam tu, apa-apa perkembangan nanti inform ana terus ya. Ana mintak diri dulu nak kena tampal benda ni di board pulak. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Aqilah dan Jasmin membalas salam tersebut serentak.

“Perkara apa tu Qila? Pagar apa?” Jasmin yang bagai orang kebingungan mendengar bicara dua orang YB muda di hadapannya tadi tidak mampu lagi menahan perasaan ingin tahunya yang membuak. ‘Nampak serius saja diorang ni tadi.’ Getus hati Jasmin.

“Kat bilik jap lagi Qila story ok, berkerut-kerut dah muka si cantik manis ni…” Aqilah sedikit berlelucon membalas pertanyaan Jasmin.

“Mungkin benda ni ada kaitan dengan kisah ‘misteri’ Min awal-awal pagi tadi. As a return, Min pun kena buka cerita Min juga…” 



Bersambung...



Srikandi Al-Azwar
15 Ramadhan 1432H/ 15 Julai 2011
Teratak Cinta Baiti Jannati..

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...