Wednesday, July 20, 2011

Janji Yang Pasti (Bab 4)




Mendengarkan itu, Aqilah segera memusingkan kepalanya ke belakang. Melihat jendela yang ditutupi langsir hijau lumut dan bercorak kotak-kotak hijau muda. 

Tidak ada yang janggal pada penglihatannya. Wajah Jasmin ditenung kembali. Keningnya diangkat sedikit. Meminta kepastian. 

“Ada tadi…tadi…” Jasmin menjawab bahasa pandangan Aqilah. Dia masih gugup seperti tadi. Lambat-lambat tuturnya. Wajahnya sedikit pucat.

“Beginilah, tak lama lagi nak masuk waktu Subuh apa kata kita Qiam sama-sama. Jom kita bersihkan diri dulu.” Aqilah bangun dari duduknya dan mengangkat tangan membaca doa bangun tidur yang belum dibaca lantaran hal tadi.  

Jasmin yang masih kaku berdiri segera dipaut tangannya oleh Aqilah. Mereka ke bilik air di sebelah bilik mereka.

“Qila nak mandi?” 

“Em, alang-alang masih awal ni nak mandi terus la baru Qiam..Min?"

“Mandi juga la.” Laju sahaja jawapan Jasmin. 


Lebih kurang 10 minit kemudian Aqilah siap membersihkan diri. Siap juga berwudhuk. Tidak mahu berlama-lama bermain air di situ. Sejuk.

“Min, jangan lama-lama sangat. Tak sempat nanti nak Qiam.” 

“Ok..”


Aqilah melangkahkan kaki kanannya terlebih dahulu keluar dari bilik air tersebut. Membaca doa keluar dari tandas dan doa setelah berwudhuk.

Tombol kamar dipulas perlahan sambil mengungkap perlahan kalimah basmalah. 

“Assalamualaikum…” kaki kanannya mendahului kaki kiri memasuki Ghurfatun Sakeenah. Nama indah yang mereka berdua sepakat untuk kamar yang kemas lagi tenang itu. Peristiwa tadi sedikit sebanyak mengguggat ketenangan Aqilah. 

‘Tak perlu dihiraukan dulu…’ hatinya bermonolog memberi pesan kepada dirinya sendiri.



Mukena yang tersangkut elok di tepi katil single diambil. Kain sembahyang dikemaskan ikatannya di pinggang kemudian telekung dipakai melapisi tudung tiga segi di sebelah dalam. Memang biasa dia begitu kerana merasa sedikit jarang telekung sembahnyangnya itu. Terutama apabila rambut tidak dimasukkan ke dalam scarf rambut tentulah akan nampak bayangannnya. Apatah lagi rambut yang basah. Biarlah hal yang sedikit remeh itu dititikberatkan sekarang dari menanggung beratnya azab di akhirat akibat sambil lewa dalam menunaikan kewajiban menghadap kekasihnya. Biar tampak sempurna. Agar neraca timbangannya kelak memberat di bahagian amal soleh.

“Qila dah solat?” Jasmin yang baru masuk ke bilik segera mencapai mukenanya di kerusi. 

“Belum...baru nak solat ni, Qila solat dulu ya” kedua-dua tangan segera diangkat separas bahunya dan takbiratul ihram diungkap perlahan.

‘Sahaja aku solat tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala..’ sepintas lalu niat dipasangkan di hatinya. Aqilah tenggelam dalam khusyuk solat menjelang waktu subuh itu. 

Di sujud yang terakhir sebelum salam Aqilah lama bermunajat di situ.

Dia melafazkan ayat suci Allah sepertimana dalam ayat ke 80 Surah Al-Isra’ yang bermaksud: 

“masukkan aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolong-(ku).” QS:17:80

Dia meneruskan munajatnya dengan perbualan hati dengan Sang Kekasih yang dihadapnya. Rindu. Bagaikan sudah lama tidak bertemu. 

‘Ya Allah..Kau permudahkanlah segala perancanganku untuk esok hari..’

‘Bimbinglah aku untuk melalui lorong redhoMu..’

‘Aku mohon ya Allah..jangan Engkau biarkan aku sendirian walau sesaat pun’

‘Aku takut ya Allah…takut tersasar melangkah…’

‘Jangan Engkau palingkan wajahMu Yang Mulia dari memandangku..’

‘Aku harapkan pandangan rahmatMu sentiasa mengiringiku…’

‘kerana yang aku harapkan hanyalah redhoMu ya Allah…’

Setelah berdialog panjang dengan Sang Pencipta dia bangun dari sujudnya dan duduk bersimpuh. Tapak kaki kanannya dipasakkan tegak 90 darjah. Kelima-lima jari kaki dilipat menjadikan kaki kanannya itu seperti huruf L letaknya. Bacaan tahiyyat akhir dilafazkan perlahan di bibir.

“Assalamualaikum warahmatullah….” Wajahnya dipalingkan ke arah bahu kanannya dan lafaz “Allahumma inni asaluka redhoka wal jannah” dibisikkan perlahan.

“Assalamualaikum warahmatullah…” bahu kirinya pula dipandang dan doa “waa’uzubika min sakhotika wannar” dilafaz.

Langsung doa dibaca setelah selesai bertahajjud sebentar tadi. Tangan ditadah ke arah langit dan doa dilafazkan khusyuk dalam bahasa Arab yang bermaksud: 

“Ya Allah, ampunilah aku, sama ada apa yang telah aku mulakan dan akhirkan, dan apa yang telah aku lakukan dengan terang dan sembunyi, Engkaulah Yang Memulakan dan Mengakhirkan, Tiada Tuhan Melainkan Engkau"

"Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan Melainkan Engkau, Engkau telah menjadikan aku sebagai hambaMu, dan aku berjanji denganMu mengikut kemampuanku, aku berlindung denganMu dari kejahatan yang telah aku lakukan, aku mengaku atas segala nikmat Engkau kepadaku, dan aku mengaku segala dosaku, ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang boleh mengampunkan melainkan Engkau"

"Aku memohon keampunan dengan Allah Yang Maha Agong, Yang Tiada Tuhan Melainkan Dia, Yang Maha Hidup dan Kekal, dan aku bertaubat kepadaNya"

"Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui, terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat Lagi Maha Pengasihani, Ya Allah, terimalah taubat kami sebagai Taubat Nasuha, supaya kami dapat memperbaharui iman kami, menyucikan hati-hati kami, diampunkan segala dosa kami dan digantikan segala keburukan kami dengan kebaikan"


Jasmin masih bersolat di sisi kirinya. Sedang tahiyyat akhir.

Al-Quran yang berwarna hitam dan berzip di tangannya itu dibuka dan ditadabbur tanpa sebarang alunan yang terlafaz.

Terlintas di kotak fikirannya satu hadis Rasulullah yang pernah dipelajarinya yang bermaksud, dari Abu Said Al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. beriktikaf di masjid, lalu beliau mendengar orang-orang mengeraskan suara dalam bacaan Al-Quran, maka beliau membuka tabir dan bersabda:

Ingatlah bahawa kamu semua sedang bermunajat dengan Tuhannya, maka janganlah sebahagian kamu MENGGANGGU sebahagian yang lain, dan janganlah pula sebahagian kamu MENGERASKAN SUARA mengatasi yang lain dalam bacaan Al-Quran.[1]

Tidak lama selepas itu laungan azan dari Musolla Al-Iman kedengaran. Jelas di telinganya. Waktu subuh memang begitu berbanding waktu lain yang kedengaran tidak terlalu jelas jika berada di bloknya. 

“Min, jom turun surau.” 

“Em, tak pe la, Min solat kat ruang tamu ja la.” Jasmin teragak-agak menolak ajakan Aqilah.

“Hati-hati Qila..” sempat Jasmin menitipkan pesan.

Aqilah hanya tersenyum. 

“Innalaha ma’ana..insyaAllah takda pape..” Aqilah berkata lebih kepada dirinya.


~~~~~


Jasmin. Seorang gadis periang. Sentiasa santai lagaknya. Dia seperti kebanyakan gadis yang lain. Cara pakaiannya, percakapannya, hobinya dan bermacam lagi. Apa yang menarik tentang gadis simple ini dia sangat menghormati orang lain dan utuh dalam bersahabat. Itu yang membuatkan dua insan yang jauh beza personaliti itu mudah akrab.

Perkenalan mereka sangat menarik. Perkenalan yang membawa satu perubahan kepada diri Aqilah. Dia mempelajari sesuatu. Sesuatu yang sangat bermakna. Kotak memorinya berputar.



                               
Selepas kuliah petang itu, Aqilah terasa ingin melepaskan pandangannya ke laut. Di bahagian belakang Dewan Kuliah Pusat (DKP) yang berada atas bukit itu laut yang membiru boleh dilihat sejauh pandangan mata. Subhanallah. Sangat cantik.

Gazebo yang ala-ala pondok itu selalu menjadi tempat singgahannya untuk mencari secebis ketenangan pinjaman Ilahi. Di situ dia dapat memuhasabahkan dirinya sebentar. Berzikir sambil berfikir.

Hanya beberapa langkah lagi dia akan sampai ke gazebo tersebut. Ianya sedikit terlindung di sebalik konkrit dewan kuliah yang paling hujung. Tiba-tiba telinganya dapat menangkap satu suara.

“Eh, pergilah. Kacau aja aku nak duduk sini.” Terbantut langkah Aqilah. 

‘Ada orang rupanya..’ Langkahnya tadi sudah ditukar arah. Tiada rezekinya hari itu.

“Kau jangan dekat-dekat dengan aku, aku tak suka la!” Nada bersahaja yang didengar Aqilah pada mulanya tadi sudah berubah rentak.

‘Em, macam lain aja dengar, baik aku gi tengok’ Aqilah berpatah balik semula menuju ke gazebo itu. 

Bumbung gazebo yang seperti atap nipah itu sudah tertangkap di korneanya. Langkah diatur semakin dekat. Kelihatan seorang gadis yang bertubuh kecil sedang duduk di atas kerusi batu gazebo. Membelakangi kelibat Aqilah.

“Emm, tau pun nak blah ya, buat hilang mood aku ja tadi.”

Langkah Aqilah terhenti. 

‘Cakap sorang ke budak ni?’ getus hati Aqilah. Terasa sedikit lain. Serba salah juga Aqilah ingin menghampiri. 

“Assalamu’alaikum” sapa Aqilah masih membelakangi gadis itu. 

“Eh mak kau, terkejut aku. Wa’alaikumussalam.” Dalam terkejut gadis itu menjawab salam.

“Maaf. Maaf buat awak terkejut. Boleh saya duduk sini?” Aqilah meminta izin terlebih dahulu. Rasa bersalah bertandang kerana menganggu gadis itu.  

“Oh, sure.” Gadis itu tersenyum manis.

“Saya Nur Aqilah, awak?” tangannya dihulur.

“Dah kenal pun awak. Aida Jasmin, boleh panggil Min.” 

“Sedapnya nama..Min Kenal saya?” Rasa sedikit teruja dengan kata-kata Jasmin tadi.

“Macam mana boleh tak kenal pula. Saya undi awak tau election hari tu. Ops undi adalah rahsia. Hehe. Anyway, congrats. Belum terlambat kan? Macam mana dengan planning JAKMAS baru ni?” insan yang bernama Jasmin yang baru dikenali Aqilah itu sangat peramah.

“Terima kasih..oh kiranya Min Kolej Angsana la ya.. Alhamdulillah so far ok juga la, banyak nak kena reconstruct. Banyak pembaharuan pengetua kolej nak. Rasa berat bila fikir amanah ni.” 

Mereka rancak berbual. Agak lama. Sehingga kemudiannya telefon bimbit Aqilah bergetar sekejapan. Tanda mesej masuk. Mesej dari felo penyelarasnya. Mintak dia ke pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk berbincang tentang kertas kerja program anjurannya tidak lama lagi.

“Em Min, kita sambung bual-bual lain kali ya, insyaAllah kita jumpa lagi. Saya ada hal sikit. Nak jumpa felo.”

“Ok, saya pun jap lagi nak balik dah jugak..” 

Setelah berpamitan, Aqilah menapakkan kakinya ke arah motosikalnya yang diparkir di kawasan parkir sebelah DKP. 

‘Ada sesuatu dengan gadis itu…pandangan matanya...' fikirannya masih melekat pada gadis berwajah polos bernama Jasmin itu.




Bersambung…


Sudah baca Janji Yang Pasti bab sebelumnya? 
Klik untuk baca. 



-JYP 1
-JYP 2-
-JYP 3- 



“Erti Hidup Pada Redho Ilahi”
12 Sya’ban 1432H/ 20 Julai 2011
Berkelana Mencari RedoNYA..


[1] Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasa-i, Al-Baihaqi serta Al-Hakim yang menyatakan bahawa hadis ini adalah sah menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim. 



Bestnye dapat KLIK sini. 
Boleh main game dan macam-macam lagi!!(^_^)

3 comments:

  1. Assalamu'alaikum ya ukhti srikandi al-Azwar...sungguh menarik penulisan Janji Yang Pasti ni, teruskan penulisan...memoir seorang mantan JAKMAS!

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum...
    Sekadar pandangan..
    Idea menarik tp mungkin perlu lebih santai..
    Dakwah seiring dgn zaman, sekadar menyatakan pendapat..klu tersilap, harap srikandi x marah..
    Aya x pandai berdakwah melalui penulisan, tetapi cuma boleh menyelitkan dlm scene yg ssuai..apa2 pun trus kan berkarya...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...