Saturday, July 9, 2011

Janji Yang Pasti (Bab 2)



“Min, nak masuk waktu dah ni. Jom kita turun ke surau. Sambil kita berjalan nanti Qila jawab serba ringkas tentang tu ya.” Ujar Aqilah sambil tersenyum kepada Jasmin.

Mereka berdua beriringan menapakkan kaki ke Musolla Al-Iman untuk solat berjemaah. Mereka siap-siap memakai mukena. Lagi lima minit waktu Isyak akan menginjak masuk. Surau tersebut terletak di tengah-tengah antara blok-blok kediaman pelajar Kolej Kediaman Seri Angsana. Blok mereka paling hujung. Jadi tidak boleh berlengah-lengah jika ingin solat berjemaah di surau.



“Dua minggu lepas Qila ada tengok al-Hidayah.. best juga kupasan tajuk hari tu, tentang solat. Tambah best bila Ustaz Zahazan Mohamed bagi pengisian juga.” Aqilah memulakan bicara.

“Ustaz Zahazan? Yang Qila selalu dengar Kuliah Tafsir selepas solat Subuh di radio IKIM tu?” Jasmin menyoal.

“Yup. Dia la. Em, Min ada tanya tentang macam mana nak khusyuk dalam solat kan tadi? Ha, Ustaz Zahazan ada bagi sedikit tips tentang tu.” Tutur Aqilah berhenti sebentar.

“Assalamualaikum…” sapa Aqilah sambil manis tersenyum dan menganggukkan kepala sedikit kepada dua orang pelajar perempuan yang berselisih dengan mereka.

“Wa’alaikumussalam…” kedua-dua mereka membalas salam dan senyuman Aqilah. Jasmin di sisi Aqilah juga turut menghadiahkan senyuman kepada mereka.

“Formula yang sangat mudah Rasulullah ajarkan kepada kita untuk dipraktikkan. Beri salam. InsyaAllah kita semua akan saling kasih mengasihi sesama saudara seIslam.” Tutur Aqilah perlahan sebelum menyambung lagi.



Ok, back to our topic. Tips untuk khusyuk solat. Ada ENAM. Pertama, hadirkan hati kita dalam solat. Kedua, cuba faham dengan setiap bacaan dalam solat. Ketiga, masa kita solat hadirkan rasa keagungan kepada Allah. Keempat, merasa malu kepada Allah. Then, merasa takut kepada Allah. Terakhirnya, mengharapkan sepenuh hati kepada Allah.” Aqilah menyenaraikan satu per satu kepada Jasmin secara lambat-lambat supaya dapat ditangkap Jasmin.

“Em.. Merasa malu kepada Allah..jarang dengar kan..bila kita nak merasa malu kepada Allah ni, kita kena rewind and ingat balik segala tingkah laku kita..kan Qila?”

“Iya betul tu Min, dari situ secara tak langsungnya kita akan rasa begitu kerdil sekali depan Allah dan ingin benar-benar Allah mendengar segala bicara kita dalam solat...” Tambah Aqilah.

Ketika mereka menghampiri pintu surau azan pun berkumandang. Aqilah melangkahkan kaki kanan memasuki surau. Ada ramai juga turun ke surau waktu itu.

‘Alhamdulillah…’ detik hati Aqila.

Dekat sebelah kanan sliding door surau seperti biasa Hakimah bersandar di dinding. Aqilah tersenyum. Dia mendekati Hakimah dan bersalaman dengan sahabat baiknya itu.

Ketika jemaah solat sedang khusyuk bersolat dalam rakaat kedua, kedengaran suara orang menjerit dari blok pelajar perempuan. Kedengaran agak jelas di pendengaran. Namun, itu tidak mengganggu konsentrasi Imam yang sedang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan merdu.

Selesai mengaminkan do’a bahu kanan Aqilah terasa dicuit. “Kak Qila, ada student kena rasuk!” cemas nada pembawa khabar itu.

“Innalillah…dekat mana ni?” pantas Aqilah bangun dan memecat mukenanya. Pergerakannya cekap melipat telekung sembahyang itu dan dimasukkan ke dalam beg sandang berwarna coklat tua yang selalu dibawa kemana-mana. Pelajar yang datang mencarinya dalam hal-hal sebegitu bukan menjadi suatu perkara pelik kerana dia memegang taklifan Exco Kerohanian dan Kebajikan bagi Jawatankuasa Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Seri Angsana. Segala hal kerohanian dan kebajikan pelajar-pelajar kolej kediaman yang seramai dua ribu lebih itu menjadi tanggungjawabnya.

Aqilah mendekati Hakimah yang sedang bersalaman dengan Ruwayda. “Jom tolong ana, ada student kena rasuk.” Aqilah mengajak mereka berdua.

Mereka berempat melangkah pantas menuju ke blok Fatimah Az-Zahra. Blok tersebut terletak sebelah kanan surau. Sesampainya di aras dua blok kedengaran suara nyaring semakin dekat. Tidak lekang istighfar meniti perlahan di bibir Aqilah dan sahabat-sahabatnya.

Berdekatan rumah bernombor 07 terdapat kerumunan beberapa pelajar perempuan. Mereka memberi laluan kepada mereka berempat yang baru tiba. Mereka menanggalkan sepatu di tepi pintu sebelah dalam rumah.

“Assalamualaikum..” Aqilah memberi salam ketika berada di muka pintu bilik bernombor 01 yang bersebelahan tandas.

“Aaaaaaaaaaaaaaah!!!” Suara nyaring itu kedengaran lagi. Dia menjenguk sedikit dan melangkahkan kaki kanan untuk masuk diikuti Hakimah dan Ruwayda. Kelihatan seorang perempuan sedang terbaring di tingkat bawah katil dua tingkat sebelah kiri pintu. Perempuan yang kelihatan berserabut rambutnya itu dicengkam kuat kedua-dua belah tangannya oleh dua orang perempuan sambil terkumat-kamit mulut mereka membaca sesuatu. Terdapat dua orang lagi duduk bersimpuh atas lantai bilik sambil membaca Surah Yasin. 

“Sakit la wei!!!!! Lepas aku kata!!!” pelajar itu mengaum kuat.

Aqilah menghampiri pelajar itu. Seorang pelajar perempuan yang memegang tangan kiri pesakit itu bangun memberi ruang kepada Aqilah. Direnung sekilas pelajar yang sakit itu. Seperti familiar. Desis hati Aqilah. Ya, dia pernah nampaknya di surau baru-baru ini. Namun begitu, mereka belum pernah berkesempatan untuk berbual.

“Siapa namanya ya?” Tanya Aqilah.

“Siti Hamidah, kitorang panggil dia Siti aje” jawab teman pelajar perempuan itu.

“Mari kita angkat Siti baring di bawah.” Ajak Aqilah kepada sahabat-sahabatnya. Siti menggelupur. Menyukarkan mereka itu mengangkatnya. 

“Aaaaaah!!!” dia menjerit lagi. Akhirnya mampu juga mereka memindahkan Siti ke lantai yang bertikar itu.

“Boleh minta sediakan air mineral?” pinta Aqilah kepada mereka yang berdiri berdekatan.



Aqilah duduk bersimpuh di sebelah kanan Siti. Dia beristighfar perlahan. Melafazkan kalimat ta’awuz sebanyak tiga kali. Bersungguh-sungguh dia memohon perlindungan kepada Allah daripada gangguan syaitan yang direjam. Niatnya hanya satu, ingin membantu merawat kerana Allah.. 

Bibirnya didekatkan sedikit ke telinga Siti. Tangan kanannya diletakkan di kepala Siti. Ingin dibaca ayat-ayat Ruqyah Syar’iyyah yang memang sudah dihafalnya dan menjadi amalannya setiap hari. Agak mudah untuk dia mengamalkan ayat-ayat tersebut kerana Surah Al-Baqarah telah dihafalnya sejak tingkatan dua di ma'had lagi. Tambahan pula ayat-ayat tersebut sudah diijazahkan kepadanya oleh ustaz di sekolahnya dahulu sebagai amalan pendinding diri dan juga membantu merawat gangguan sekiranya berkeperluan.

Dimulakan bacaan dengan Surah al-Fatihah. Dibacanya secara tartil.

Setelah itu diteruskan dengan membaca surah al-Baqarah ayat satu hingga lima. Badan Siti sedikit mengeras dan bergetar. Dia berteriak lagi.

Aqilah tidak memberhentikan bacaannya. Diteruskan dengan ayat 102, 103, 163, 164 dan apabila tiba ayat 255 surah al-Baqarah iaitu ayat Kursiy tubuh Siti semakin bergetar hebat.

“Aaaaaaahhh!! Sakit!!!! Sakit!!!!”

Bacaan tetap diteruskan sehingga ayat 257. Suara nyaring meletus lagi. Semakin meninggi. Semakin meronta-ronta. Aqilah tetap tidak memberhentikan bacaannya. Disambung lagi membaca penghujung surah al-Baqarah iaitu ayat 285 dan 286. Semakin kuat Siti menarik tangannya untuk dilepaskan. Sehinggakan memaksa Hakimah dan Ruwayda menguatkan lagi cengkaman di tangan Siti. Jeritannya semakin kuat dan sedikit berubah serak.

Memasuki Surah Ali-‘Imran, Aqilah tetap meneruskan bacaan tanpa beriak kasihan. Tiba ayat ketiga surah itu suara yang sedikit serak itu bersuara lagi.

“Cukup!!!! Cukup!!! Aku dah tak tahan!!! Sakit!!!!!! Aku tak nak kacau dah!!!” Si ‘dia’ seperti sudah mengalah.

Aqilah berhentikan bacaannya dan memulakan bicara. “Baiklah, tapi kau mesti jujur jawab soalan aku. Siapa nama kau? Apa agama kau?”

“Mus’ab. Aaku Islam.” Jujur si ‘dia’ menjawab walaupun agak tergagap.

“Kenapa kau ganggu dia ni?” soal Aqilah lagi.

“Aku suka dia. Dia selalu sorang-sorang.” Berterus terang Mus’ab menjawab.

“Kau ada bawa jin lain masuk tubuh ni?” Aqilah inginkan kepastian.

“Aku saja.”

“Kau ada bekerja dengan sapa-sapa untuk masuk ke dalam jasad ni?” soalan diteruskan sambil kepala Siti masih disentuh.

“Tak ada. Aku sendiri-sendiri saja.”

“Kau ada di bahagian mana sekarang?”

“Lengan” jujur sekali Mus’ab menjawab. Aqilah memegang lengan Siti.

“Kau Islam sudah tentu kau tahu yang perbuatan kau ni salah. Allah tidak menyukainya. Kau pasti akan ditimpa azab berat jika tidak bertaubat. Nama kau Mus’ab sepatutnya memudahkan orang lain bukan menyusahkan. Kau nak keluar atau tidak?” Aqilah mengancam sedikit Mus’ab dengan peringatan azab dan sempat juga dia menggunakan nama Mus’ab yang bermaksud yang MUDAH.

“Nak. Nak.” Pantas Mus’ab menjawab lagak budak kecil yang ditawarkan mainan.

“Alhamdulillah.. jika kau nak keluar sebelum tu kau kena berjanji kepada Allah. Ikut aku lafaz”

“Aku berjanji kepada Allah ta'ala bahwa saya akan keluar dari jasad ini dan saya tidak akan kembali lagi kepadanya; juga tidak akan kembali (masuk) kepada salah seorang dari kaum Muslimin. Jika saya melanggar janji saya, maka saya akan terkena laknat Alah, para malaikat dan semua manusia. Ya Allah, jika aku jujur, maka mudahkanlah bagiku untuk keluar dan jika aku berdusta, maka berilah kekuatan kepada orang-orang Mu'min terhadap diriku. Allah menjadi saksi atas apa yang aku ucapkan”.

Mus’ab mengikut satu per satu lafaz janji yang diungkapkan Aqilah. Selesai janji dilafaz tubuh Siti kelihatan terkulai. Aqilah mengambil air mineral yang telah di‘baca’ dengan ayat-ayat suci al-Quran sebentar tadi. Lalu disapukan ke wajah Siti yang pucat sambil berselawat. Diulang beberapa kali kemudiannya kelopak mata Siti kelihatan bergerak-gerak sedikit. Matanya dibuka perlahan.

“Aduh…..” Siti mengaduh perlahan sambil memegang lengannya. Dikerut-kerutkan wajahnya. Mungkin kesan cengkaman tadi.

“Siti ke?” soal Aqilah inginkan kepastian Siti sudah ‘bebas’.

“Ya..Siti ni” perlahan sahaja. Normal suaranya. Aqilah membantu Siti untuk duduk.

“Mari saya check sikit lagi ya. Nak tengok dia dah betul-betul pergi atau tidak.” Siti hanya mengangguk merelakan.

Setelah dibaca beberapa ayat Ruqyah lagi tubuh Siti kelihatan sudah pulih. Alhamdulillah, Mus’ab benar-benar mengotakan janjinya. Moga-moga begitulah. Desis hati kecil Aqilah.  

“Minum air ni ya. Jangan lupa selawat.” Aqilah menyuakan air itu kepada Siti.

Setelah selesai dan memberi sedikit pesan, Aqilah, Hakimah dan Ruwayda meminta diri.

Aqilah mengerling sekilas ke arah jam tangan jenama Quartz miliknya. Jarum pendek mendekati angka sepuluh. Manakala jarum panjang pada angka sebelas. “Lama juga ya” desis Aqilah perlahan.

“Alhamdulillah mudah juga dia keluar kan” Hakimah berkata. Mereka bertiga menuruni tangga blok Fatimah Az-Zahra.

Sampai di bawah blok ada nada mesej masuk ke dalam peti masuk telefon bimbit Aqilah. Diseluk beg sandangnya. Mesej dari setiausaha JAKMAS kolejnya. Ada mesyuarat tergempar sekejap lagi. “Ek?” Aqila mengangkat sedikit keningnya.

“Kenapa Qila? Ada kerja?” Soal Ruwayda.

“Yup, ana ada meeting, baru dapat mesej ni, korang balik dulu ya.”

Setelah bersalaman, mereka melangkahkan kaki menuju destinasi masing-masing. Aqilah menuju ke bilik mesyuarat JAKMAS di bangunan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa di sebelah kafe. Tubuhnya terasa sedikit penat akibat me‘lawan’ tadi. Tetapi, belaian tubuh perlu diabaikan dahulu. Aqilah melangkah kemas. Amanah tetap manah.




P/S: Suka JANJI YANG PASTI bahagian 2 ini? Kalau suka sudi-sudikanlah diri untuk ‘like’ dan beri sedikit komen kepada ana. Sama-sama kita sebarkan da’wah. Kredit untuk anda dan kredit juga untuk insan yang dhoif ini. Syukran. Wallahu a’lamu a’lam…





 “Tiada Erti Tanpa Redho Ilahi”
07 Sya’ban 1432H/ 9 Julai 2011
Berkelana Mencari RedoNYA..

Bestnye dapat KLIK sini. 
Boleh main game dan macam-macam lagi!!(^_^)

2 comments:

  1. alhamdulilah, menarik.. semakin menarik...

    ReplyDelete
  2. Soul JS: Terima kasih banyak sudi membaca. Alhamdulillah jika rasa semakin menarik. Harap dapat beroleh manfaat walau sedikit dari tulisan ini.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...